Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan yang kemungkinan akan berlaku dalam masa 3 bulan daripada sekarang perlu dianggap sebagai mempunyai harapan oleh jentera KEADILAN.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Adam Adli Abdul Halim berkata, anggota parti khususnya Angkatan Muda KEADILAN tidak boleh berputus asa melihat kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke 15 lalu.
Sebaliknya, kata beliau, isu yang dibangkitkan dalam PRU tidak sama dengan PRN. Katanya di situ KEADILAN mungkin memiliki daya penarik kepada pengundi.
"Orang mungkin beri lebih banyak (tumpu) kepada isu tempatan. Bagi AMK inilah peluang turun ke bawah buat kerja penerangan. Bukan hanya tertumpu kepada komuniti setempat tetapi keluar ke kawasan lain. Kalau orang tak kenal, kita bagilah orang kenal kita," katanya dalam Konvensyen Pilihan Raya Negeri Kelantan 2023, petang tadi.
Adam turut tidak setuju dengan propaganda yang terlalu membesar besarkan gelombang hijau kononnya bakal menenggelamkan Malaysia.
Katanya, berdasarkan keadaan di Kelantan yang mana tatakelolanya amat buruk, maka terdapat peluang bagi pihak yang bijak untuk memanipulasi pendapat umum menang dalam PRN.
"Agak aneh kalau kita fikirkan dalam PRU lepas apabila orang bercakap soal kelemahan tatakelola, orang merujuk Kelantan terburuk. Pengurusan PBT, peringkat negeri.
"Soal pemimpin dilihat mewah rakyat susah. Orang kata ini resepi kehancuran kepada Pas. Tetapi akhirnya kita tidak melihat keputusan yang kita jangkakan.
"Jadi kita rumuskan tahap apa yang dinikmati kerajaan Kelantan itu tidak boleh pergi lebih (jauh) lagi. Kalau dikatakan berlaku gelombang hijau, maknanya jumlah (sokongan) itu terhad kepada yang diterima dalam PRU lepas," katanya lagi.
Komentarze