PRN: JPRN KEADILAN Selangor komited bantu jentera PH Sabah
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
KEADILAN Selangor terus mempamerkan semangat setiakawan dalam membantu jentera Pakatan Harapan (PH) Sabah menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang bakal berlangsung hujung bulan ini.
Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPRN) Selangor pada Jumaat mengadakan perjumpaan bersama jentera PH Dewan Undangan (DU) Petagas sebagai tanda sokongan moral di samping berkongsikan panduan strategik kepada pasukan yang akan bertugas sepanjang kempen.
Pertemuan penyelarasan diketuai Pengarah JPRN Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan bersama Ketua Cabang Putatan, Awang Husaini Awang Sahari serta dihadiri jentera Harapan DU Petagas.
Turut serta pada pertemuan itu ialah Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad, selain anggota JPRN Selangor yang baru pulang dari misi di Sindumin.
"Perbincangan tertumpu kepada strategi dan pelaksanaan gerak kerja di Petagas bagi memastikan seluruh jentera bergerak seiring menghadapi PRN Sabah 2025 dengan semangat dan disiplin tinggi," menurut kenyataan JPRN Selangor di media sosial.
Pasukan JPRN Selangor berada di Sabah sejak akhir Oktober lalu bagi menyelaras gerak kerja menjelang Pilihan Raya Sabah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November sebagai hari penamaan calon, 25 November hari pengundian awal dan 29 November sebagai hari mengundi bagi PRN Sabah ke-17.





