PRN Johor: Pilih kerajaan stabil, mampu selesai isu rakyat - AMK
- Azuan Ab Rahman

- 2 days ago
- 2 min read

Rakyat Johor diseru agar memanfaatkan peluang dan membuat pilihan bijak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada Sabtu ini.
Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Amira Alias berkata, PRN kali ini penting kerana ia bukan sekadar memilih wakil rakyat, sebaliknya menentukan hala tuju negeri dan negara bagi beberapa tahun akan datang.
Tambah Amira, rakyat perlu mengambil peluang pada pilihan raya ini untuk menghantar mesej jelas bahawa mereka mahukan kestabilan politik, dasar yang konsisten serta sebuah kerajaan yang mampu menyelesaikan isu dihadapi mereka.
"Saya menyeru semua pengundi Johor supaya menggunakan hak mengundi dengan penuh tanggungjawab. Nilailah berdasarkan prestasi dan kemampuan sesebuah kerajaan untuk mentadbir dengan stabil.
"Rakyat semakin matang. Mereka mampu menilai siapa yang benar-benar bekerja, siapa yang konsisten membawa dasar yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut beliau juga mengingatkan pengundi agar pengundi tidak dipengaruhi fitnah, khabar angin atau politik kebencian sebaiknya memilih berdasarkan fakta, rekod pencapaian serta perancangan masa depan yang dibawa.
Beliau menjelaskan, Kerajaan MADANI dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim jelasnya sudah membuktikan keupayaan mewujudkan suasana politik yang lebih stabil sekaligus membolehkan dasar-dasar ekonomi dilaksanakan dengan lebih teratur.
Dari sudut ekonomi pula jelasnya, pentadbiran Perdana Menteri berjaya menarik pelaburan berkualiti ke dalam negara yang juga membuka peluang pekerjaan baharu terutama kepada golongan belia.
"Kesan daripada usaha ini tidak berlaku dalam sehari, namun ia menjadi asas penting kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka panjang," tambahnya
Menerusi kenyataan sama Amira turut menyeru rakyat Johor menolak Parti Kancil diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai isyarat mereka bukan bahan uji kaji kepada parti politik yang masih baharu.
Amira menegaskan, budaya politik yang terlalu kerap berubah atau percaturan yang hanya mementingkan kepentingan sesuatu pihak tidak memberi manfaat, sebaliknya hanya memberi kesan tidak baik kepada ekonomi, keyakinan pelabur dan kesejahteraan hidup rakyat.




Comments