Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada Mac ini bukan sahaja mengenai perjuangan rakyat mengembalikan pemerintah yang berwibawa tetapi juga mengenai maruah KEADILAN yang menggunakan logo sendiri kali ini.
Sehubungan itu, Pengarah Pilihan Raya KEADILAN Malaysia, Fuziah Salleh menyeru agar semua anggota parti berjuang habis habisan bagi memastikan KEADILAN menang di kerusi kerusi yang dipertandingkan.
"Saya ingin menyeru, kita semua gerakkan tenaga ahli sebaik mungkin. Di Johor, di mana sahaja anda berada saya nyatakan PRN kali ini bukan sahaja kembalikan mandat tetapi maruah parti.
"Kenapa presiden bersetuju guna lambang KEADILAN? Ini desakan akar umbi, bukan kerana kita tolak Pakatan Harapan (PH). Kita masih utuh dalam PH. Ini cuma satu langkah taktikal untuk KEADILAN menguji kekuatan lambang kita.
"Rundingan kerusi telah kita selesaikan dengan cukup pantas.
"Kita tak mahu (keputusan) Melaka, Sarawak berulang. Kita mahu menampilkan ADUN ADUN di Johor. Ini survival kita. Datanglah ke Johor, ambil arahan jelas. Jangan datang untuk kempen pemilihan parti. Datang untuk menangkan calon kita, kerja keras, bantu calon sehingga menang," katanya dalam Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama Pilihan Raya KEADILAN di Johor Bahru, malam tadi.
Ahli Parlimen Kuatan itu turut menyelar BN kerana sengaja menyusahkan kehidupan rakyat mengadakan PRN berkenaan sedangkan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) kurang dari setahun.
Katanya, Umno BN sengaja mahu mengadakan PRN awal untuk menghalang pengundi yang bekerja di luar Johor pulang kerana mereka sedar pengundi PH majoritinya daripada mereka yang bekerja di Selangor dan Singapura.
"Kenapa mereka tidak mahu tunggu PRU akan datang? Kerana mereka lihat kejayaan di Melaka, di Sabah dan Sarawak. Mereka fikir kalau mereka adakan PRN berasingan dengan PRU maka trend sama berlaku. Di Sabah dan Melaka, mereka lihat pengundi yang duduk di luar mencari rezeki tak mampu balik mengundi.
"Mereka ambil kesempatan untuk mengaut kuasa. (Sebab itu PRN diadakan) di kala rakyat nak makan ayam pun tak mampu, telur tak ada, rakyat hilang pekerjaan, baru nak bangkit bina ekonomi kelurga, graduan bawa grab. Di Kuantan ada pemegang PhD bawa grab food semata mata kerana hidup mereka susah, beri anak makan. BN tak kisah itu semua dan kita mesti sedar.
"Inilah langkah yang mereka ambil bermula dengan Langkah Sheraton. Ada yang beritahu kita tak payah balik nanti PRU kita kenakan BN semula. (Beritahu mereka) kalau tak balik, 5 tahun lagi baru PRN. PRU nanti tidak ada dua kertas undi di Johor, hanya undi Parlimen," katanya.
Bagi pengundi tempatan pula, Fuziah merayu mereka yang pernah memangkah logo KEADILAN pada PRU 14 lalu untuk terus istiqamah memastikan kerajaan rasuah tidak diangkat semula mentadbir negeri.
"Saya merayu pengundi yang memangkah logo KEADILAN, yang bertekad menyahkan BN dari Johor, kali ini kamu mesti kembalikan mandat rakyat.
"Julang semula logo KEADILAN. Balik dan keluar mengundi. Kalau berada di Singapura kita sedang urus strategi untuk mengendalikan undi pos di sana. Kita akan membantu pengundi (di Selangor) untuk pulang mengundi pada hari mengundi," katanya lagi.
Comentarios