PRN Johor: Kadar sokongan pengundi Cina kepada PH masih tinggi
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 2 min read

Peralihan undi penyokong Perikatan Nasional (PN) kepada Barisan Nasional (BN) dalam pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam menjadi antara faktor utama Pakatan Harapan (PH) gagal mempertahankan beberapa kerusi yang dimenangi pada PRN 2022 lalu.
Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook (gambar), berbeza dengan PRN 2022 yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru, pilihanraya kali ini kebanyakan kerusi ditandingi secara satu lawan satu, menyebabkan undi yang sebelum ini memihak kepada PN beralih kepada BN di kawasan yang tidak ditandingi gabungan itu.
"Keputusan semalam adalah satu keputusan yang sememangnya kami jangka akan menjadi sangat sukar. Kami menerimanya dan menghormati keputusan yang dibuat oleh para pengundi," katanya dipetik laporan Chinapress.
Anthony berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Jena ketika diminta mengulas keputusan PRN Johor.
Beliau berkata, walaupun DAP hanya berjaya mempertahankan enam daripada 10 kerusi yang dimenangi sebelum ini, Loke berkata asas sokongan terhadap PH, khususnya dalam kalangan pengundi Cina, masih kekal kukuh.
Menurut beliau, keenam-enam kerusi yang dipertahankan DAP dimenangi dengan lebih 50 peratus undi, sekali gus menunjukkan PH masih mempunyai sokongan yang kuat di kawasan bandar.
"Jika kita menganalisis keputusan, kita dapat melihat bahawa sebahagian kerusi yang berjaya kita pertahankan sebelum ini dimenangi dalam pertandingan tiga penjuru dengan lebih 50 peratus undi.
"Kali ini kita masih mengekalkan kadar sokongan tersebut, malah di sesetengah tempat terdapat sedikit peningkatan," katanya.
Jelas beliau, di beberapa kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Cina seperti Kulai, Bukit Indah di Johor Bahru dan Senai, sokongan terhadap PH masih berada pada paras hampir 80 peratus.
Dalam pada itu, Loke menegaskan PH menerima keputusan PRN Johor dengan terbuka dan menghormati mandat yang diberikan rakyat.
Kata beliau, sejak awal lagi PH menjangkakan pilihanraya itu akan berlangsung dalam suasana yang mencabar berikutan kelebihan yang dimiliki pihak lawan, namun keputusan itu tetap akan dijadikan asas untuk menilai strategi dan memperkukuh sokongan menjelang pilihan raya akan datang.




Comments