PRK Slim tidak cerminkan mood sebenar rakyat dalam PRU



Kemenangan besar calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim kelmarin bukankah cerminan sebenar sokongan rakyat kepada parti pro-kleptokrasi itu dan tidak semestinya BN akan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.


Naib Presiden KEADILAN Chang Lih Kang berkata, undi dalam PRK lebih kepada isu-isu setempat dan biasanya pengundi akan teruja dengan tawaran kerajaan yang berkuasa.


Dalam PRU pula, katanya, pengundi akan melihat dasar negara dan kebajikan rakyat yang akan ditadbir oleh sesebuah kerajaan yang bakal dilantik untuk tempoh 5 tahun.


"Biasanya keputusan PRK bukanlah satu penentuan keputusan PRU. Namun begitu, ia telah mendorong kami di pihak Pakatan Harapan (PH) untuk bekerja bertungkus-lumus bagi Pilihanraya Negeri Sabah (PRN) pada 26 September 2020.


"Saya menjangka keputusan Slim akan menguatkan lagi semangat koalisi Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan PRU 15 dalam tahun ini. Kerajaan juga kini sentiasa mengheboh-hebohkan ekonomi negara sudah pulih dan ini adalah strategi mereka untuk meraih sokongan rakyat dengan memberi keyakinan bahawa negara sudah berada atas di atas landasan yang betul. Tetapi ramai orang lagi masih menganggur.


"Selain dari itu, logo PN pun sudah diluluskan. Ini bererti mereka sedang bersiap-sedia untuk PRU15," katanya dipetik.


Ahli Parlimen Tanjong Malim itu juga berpendapat kesimpulan yang lebih jelas mengenai prestasi PH mungkin boleh diperolehi dengan melihat keputusan PRN Sabah yang pada hujung September ini. Menurut beliau, keputusan itu akan lebih mendasar mengenai mood rakyat apabila prestasi kerajaan PH/Warisan dinilai secara keseluruhan.


Selain itu Lih Kang berkata, beliau kecewa melihat politik perkauman yang semakin buruk dimainkan parti pemerintah khususnya dalam PRK di negara ini.


Katanya, rakyat Malaysia perlu mengambil sikap lebih waras dalam memastikan negara tidak runtuh akibat isu-isu kaum dan agama sempit.


"Semua kaum telah menyumbang kepada kemajuan negara hari ini dan semua kaum adalah rakyat Malaysia. Inilah maknanya Merdeka yang kita sambut," kata beliau lagi.


PRK Slim turut menyaksikan rasuah pilihan raya berupa wang tunai dan janji projek tebatan banjir oleh Kerajaan Negeri masih berlaku biar pun PH sebelum ini melalui Suruhanjaya Pilihan Raya cuba membersihkan kempen PRK daripada rasuah politik.


Dalam PRK Slim calon BN mengatasi calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang disokong oleh Pejuang dengan majoriti besar. PH bagaimanapun tidak terlibat secara langsung dalam PRK itu dan hanya membantu dari segi ceramah dan penyediaan peralatan kempen.



PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio