
Oleh: Abdullah Zaid
ANALISIS: Jika bendera adalah mainan persepsi untuk menentukan kebolehmenangan maka calon Pakatan Harapan (PH) DUN Simpang Jeram Ir Ts Nazri Abdul adalah juaranya.
Hal ini kerana perang bendera dilihat sebagai psikologi ampuh bagi menyakinkan pengundi dalam berbaki kurang 24 jam sebelum hari mengundi.
Semalam Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menggesa pengundi di DUN tersebut memilih calon MADANI sebagai tekad dalam mengutamakan kepentingan negara.
Jelasnya, dengan mengundi calon Perpaduan maka ia secara tidak langsung dapat memberi isyarat bahawa Gelombang Perpaduan jauh lebih kuat daripada gelombang hijau.
Bagaimanapun, dalam tempoh yang getir ini, ukuran jelas bagi kebolehmenangan calon PH dinilai melalui peratusan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
Jika dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 lalu, DUN Simpang Jeram berjaya mengekalkan kemenangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dengan hanya kekuatan 51 peratus pengundi sahaja, maka tidak mustahil kerusi tersebut mampu dipertahankan oleh calon Harapan bagi PRK kali ini.
Pun begitu, pilihan dan keputusan di tangan pengundi Simpang Jeram bagi menilai sendiri calon mana yang mampu melaksanakan bakti dan sumbangan yang sama seperti legasi yang ditinggalkan oleh Bapa Rahmah itu.
Apa pun, keputusan PRK DUN Simpang Jeram pada 9 September ini tidak memberi kesan langsung kepada kedudukan kerajaan Johor apatah lagi Kerajaan Persekutuan, tetapi dengan kemenangan tersebut ia mampu memberi keselesaan buat blok Perpaduan untuk terus memerintah lima tahun lagi.
Comentários