top of page

PRK Sg Bakap: DAP P Pinang serah kepada KEADILAN tentukan calon



DAP Pulau Pinang menyerahkan kepada Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) untuk menentukan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang bakal ditetapkan tarikhnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti.


Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, perkara itu adalah berasaskan kepada persefahaman di dalam parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan yang memberikan keutamaan kepada parti yang bertanding sebelum ini di kerusi tersebut.


"Calon KEADILAN telah bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos lepas.


"Kita belum buat keputusan rasmi tapi persefahaman kami adalah parti yang bertanding sebelum ini diberi keutamaan," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di George Town hari ini.


Chow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang dijangka mengadakan mesyuarat pada minggu ini bagi membincangkan persediaan untuk menghadapi PRK Sungai Bakap.


Beliau berkata pihaknya difahamkan KEADILAN merupakan antara parti gabungan yang sudah memulakan mesyuarat sebagai persiapan menghadapi PRK itu.


Beliau yakin kerjasama mantap dalam kalangan parti Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada DAP, KEADILAN dan Barisan Nasional (BN) memberi kelebihan kepada gabungan tersebut untuk merampas kembali kerusi Sungai Bakap pada PRK itu.


Dalam pada itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Sungai Bakap kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) petang tadi.


Choo Kiang menyerahkan notis berkenaan kepada Pengarah SPR Pulau Pinang, Dr Siti Nazariah Abdul Zalim pada jam 2 petang di lobi bangunan DUN Pulau Pinang.


Menurut Choo Kiang, penyerahan notis tersebut selaras dengan Fasal 5, Perkara 19 Perlembagaan Pulau Pinang bagi membolehkan satu pilihan raya kecil diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi DUN berkenaan.


Kerusi DUN tersebut kosong selepas penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, meninggal dunia Jumaat lepas ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.


Pada PRN Pulau Pinang Ogos lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page