Oleh: Abdullah Zaid
Berbekalkan semangat dan tekad membantu warga Pulai, calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat berazam untuk menyelesaikan isu perumahan pangsa, membasmi kemiskinan serta pendidikan sebagai agenda utama pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.
Jelasnya, AkuJanji itu hasil daripada keluhan diterima oleh pengundi di Parlimen tersebut yang mendambakan kehidupan lebih baik.
"Isu berkaitan dengan perumahan, tiada tempat penginapan yang selesa di rumah pangsa (akan diberi keutamaan).
"Selain itu, tiada kemudahan asas di kawasan rumah pangsa juga akan diberi tumpuan dengan memberikan kemudahan infrastruktur di parlimen Pulai," katanya menerusi satu video manifesto di Facebooknya.
Tambahnya, isu kemiskinan boleh diselesaikan melalui inisiatif program latihan kemahiran bagi membantu warga Pulai yang kurang bernasib baik agar mereka memperolehi pendapatan yang lebih lumayan.
"Kemiskinan bandar banyak dikatakan, maka usaha-usaha kemahiran mereka yang tidak berpeluang (belajar) akan diberi, supaya mendapat gaji yang sesuai dengan mereka," katanya.
Satu isu lagi, tambah mantan Speaker DUN Johor itu, adalah pendidikan yang perlu dipertingkatkan untuk anak anak sekitar Pulai.
"Pendidikan anak-anak penting. Maka kualiti pendidikan anak-anak akan diberikan perhatian dan dipertingkatkan," katanya.
Pada 9 September ini, Suhaizan berdepan saingan tiga penjuru dengan menentang calon PN, Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai dan calon Bebas, Samsuddin Mohd Fauzi.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai yang serentak dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diadakan susulan penyandang kedua-dua kerusi terbabit, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
Bagi DUN Simpang Jeram, Timbalan Ketua AMANAH Kawasan Bakri, Ir. Ts. Nazri Abdul Rahman berdepan dengan calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya dan seorang calon Bebas, S Jeganathan.
Comments