Oleh: Abdullah Zaid
Sokongan pengundi Orang Asli di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri terhadap Kerajaan Perpaduan dan calon BN utuh dan tidak pernah berubah.
Bagi golongan asal itu ‘warna biru’ sudah sebati dengan hidup mereka memandangan banyak inisiatif dan bantuan diberikan oleh wakil rakyat BN kepada mereka sebeum ini.
Manggis Pucuk, 50, dari Kampung Kuala Lah berkata rata-rata pengundi di penempatan itu lebih yakin dengan calon BN yang diyakini memahami denyut nadi mereka.
"Dari dulu lagi banyak bantuan yang kita sudah dapat, termasuk bantuan persekolahan anak-anak dan bantuan rumah.
"Sebab itu sampai sekarang kita memang akan memilih BN kerana mereka lebih mendekati hati kami," katanya kepada Suara Keadilan.
Senada dengan beliau, Hassan Yusof, 45, seorang pekebun berkata, sokongan kepada calon kerajaan bukanlah sesuatu yang asing memandangkan ianya sudah berlaku sejak dari generasi nenek moyang mereka lagi.
"Daripada dahulu sampai sekarang kita sokong warna biru, sudah sebati dengan kami.
"Apa sahaja bantuan Orang Asli tidak pernah dipinggirkan, harap sangat warna biru dapat menang," ujarnya.
Manakala, bagi Faizul Anjang, 36, yang juga pekebun, beliau tetap menyokong kerajaan selagi mana blok Perpaduan berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat.
Katanya, sokongan dan kepercayaan akan terus diberikan bagi membela nasib mereka yang inginkan pembangunan.
"Setakat ini banyak bantuan yang kita dapat tapi kena tengok juga kalau dia terbaik memang kita akan terus sokong," ujarnya.
Sabtu ini, seramai 20,259 pengundi berdaftar di DUN Nenggiri akan membuang undi bagi memilih wakil rakyat baharu.
PRK berkenaan diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Kerajaan Perpaduan mencalonkan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN) berentap dengan calon Pas Mohd Rizwadi Ismail.
Comments