Oleh: Abdullah Zaid
Kempen pembangkang yang banyak menggunakan isu masalah kenaikan harga barang sebagai bahan kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri dilihat hipokrit apabila pemimpin Pas seperti Tan Sri Annuar Musa berpakaian mewah ketika mendampingi pengundi.
Sedangkan kata Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam, penampilan mewah bekas Ahli Parlimen Ketereh baru baru ini memakai baju jenama Louis Vuitton (LV) berharga berbelas ribu ringgit adalah contoh jelas bagaimana pemimpin pembangkang tidak selari dengan apa yang diperkatakan mereka.
Menurut Lokman lagi, biarpun ramai yang mengkritik penampilan mewah itu namun tindakan Annuar yang terus mempertahankan penampilannya disifatkan sebagai sombong.
"Sebenarnya orang tak kisah kalau dia adalah usahawan tetapi sebagai seorang ahli politik dan bekas menteri yang makan gaji sudah pasti apa yang dipakai dan diperagakan itu dinilai oleh rakyat.
"Sebelum ini, dia sendiri yang selalu mencanang rakyat hidup susah dan merana tetapi boleh pula dia bermewah seperti tidak sensitif langsung, terutama pada waktu berkempen. Sudah tentu ia menjadi isu," kata beliau dalam siaran langsung Facebooknya.
Tambah Lokman, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu yang sudah menyertai Pas sepatutnya menonjolkan imej bersederhana memandangkan parti pembangkang itu banyak mempromosikan gaya hidup sederhana.
"Kalau betul ada jiwa tawaduk, sudah pasti dia akan rasa malu kerana menggunakan aksesori mewah ditunjuk kepada orang susah.
"Sebab itu, saya berasa amat sedih bagaimana kemunafikan dia (bermewah) tetapi memberi sumbangan hanya sebungkus maggie dan biskut," ujarnya.
Anuar yang juga Pengarah Operasi Perikatan Nasional PRK Nenggiri, sebelum ini tular di media sosial selepas beberapa keping gambarnya yang memakai jaket jenama mewah, Louis Vuitton (LV) mengesankan netizen ketika menyampaikan sumbangan kepada pengundi Orang Asli.
Bekas Setiausaha Agung UMNO itu bagaimanapun terus mempertahankan pemakaiannya yang disifatkan tidak sepatut menjadi isu memandangkan barangan tersebut dibeli dengan menggunakan wang sendiri.
Comentários