PRK Kuala Kubu Bharu: PH adakan mesyuarat perinci calon bertanding
- Suara Keadilan
- Apr 4, 2024
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Mesyuarat Khas Pakatan Harapan dijangka akan diadakan tidak lama lagi bagi menetapkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, notis mesyuarat itu akan diumumkan selepas pertemuannya dengan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka pada petang ini.
Menurutnya, mesyuarat itu berkemungkinan hanya memuktamadkan calon parti yang bertanding selain membincangkan persiapan dari segi jentera dan logistik.
"Biasanya dalam mesyuarat itu kami cuma memuktamadkan status quo dari segi parti yang bertanding di kawasan yang mengalami kekosongan itu.
"Kemudian kami akan mendengar parti berkenaan untuk mengemukakan senarai calon mereka dan persiapan jentera dan logistik dan sebagainya," katanya dalam Sidang Media Menteri Dalam Negeri, di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata hari pengundian awal ditetapkan pada 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Kee Hiong, 58, menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia akibat kanser.
Sebanyak 18 pusat mengundi biasa mengandungi 74 saluran dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi tiga saluran awal akan digunakan.
Comments