Oleh: Abdullah Zaid
Perdana Menteri merakam ucapan tahniah kepada calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao yang berjaya mempertahankan kerusi PRK Kuala Kubu Bharu.
Dalam kemuncak acara Ulang Tahun 25 KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan ucapannya dengan merakamkan tahniah kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook.
"Tahniah kepada saudara Anthony Loke atas kemenangan Kuala Kubu Bharu," katanya di Sentul Depot, di sini, hari ini.
Menerusi ucapannya Perdana Menteri turut menghargai kehadiran wakil DAP itu bagi memeriahkan lagi kemuncak ulang tahun jubli perak itu.
Acara makan malam itu turut dihadiri Ketua Whip Parti Gabungan Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
PRK Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Pilihan raya kecil itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti 4,119 undi.
Comments