Pakatan Harapan (PH) melancarkan manifesto mereka bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) malam tadi.
Manifesto ‘Harapan Untuk Kuala Kubu Baharu’ itu menggariskan lima teras utama iaitu ekonomi, kemudahan, alam sekitar dan rekreasi serta warisan dan budaya termasuk kesejahteraan rakyat.
Menyentuh aspek ekonomi Pang Sock Tao berkata, beliau bertekad untuk merancakkan aktiviti ekonomi berteraskan pembangunan industri di Hulu Selangor, pelancongan tempatan dan keusahawanan.
Inti pati kemudahan pula membabitkan tawaran menambah baik sistem pengangkutan dan kemudahan awam serta meningkatkan kelajuan internet.
Selain itu, Sock Tao juga ingin memastikan KKB melalui proses pembangunan mampan dan dalam masa sama tidak mengenepikan aspek pemeliharaan alam sekitar.
"Di bawah agenda warisan dan budaya pula, saya akan melancarkan inisiatif-inisiatif untuk memulihara dan mengangkat warisan serta budaya di KKB.
"Soal kesejahteraan rakyat juga diberikan keutamaan di dalam manifestonya agar tiada yang terpinggir," katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan di Bandar Baru Batang Kali.
Turut hadir pada acara itu adalah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, serta bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada Selasa depan (7 Mei).
Sock Tao, ditentang tiga pencabar lain iaitu calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut, calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainuddin serta calon Bebas, Nyau Ke Xin.
Comentarios