top of page

Prinsip ketelusan, integriti, kecekapan asas pentadbiran - Saifuddin Shafi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 29
  • 1 min read

Saifuddin (kanan sekali) bersama Speaker DUN dan peserta Program ADUN Muda Selangor 2025
Saifuddin (kanan sekali) bersama Speaker DUN dan peserta Program ADUN Muda Selangor 2025

Prinsip ketelusan, integriti dan kecekapan perlu dijadikan asas dalam membina tadbir urus yang lestari dan berdaya tahan, khususnya dalam landskap pentadbiran masa kini.


Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad menitipkan pesanan itu kepada para peserta Program ADUN Muda Selangor 2025 dalam satu sesi khas yang berlangsung di Dewan Annex, Wisma Dewan Negeri Selangor, pada Isnin.


"Ketelusan, akauntabiliti dan integriti adalah aspek utama yang perlu diamalkan oleh mana-mana organisasi pentadbiran. Pentadbiran yang baik bukan sekadar slogan – ia adalah tanggungjawab bersama," katanya dipetik.


Saifuddin hadir sebagai panel jemputan bagi memberi pendedahan berkaitan tadbir urus dan dasar awam di peringkat negeri kepada peserta program.


Program ADUN Muda Selangor 2025 merupakan inisiatif di bawah Dewan Negeri Selangor yang bertujuan melahirkan belia berfikiran kritis terhadap polisi Kerajaan Negeri.


Bagi edisi tahun ini, program mencatat peningkatan penyertaan dengan 166 permohonan diterima, termasuk 84 peratus peserta berusia bawah 35 tahun, berbanding 73 peratus pada tahun sebelumnya. Seramai 112 peserta terpilih mengikuti pusingan pertama yang berlangsung pada 14 Jun lalu di Wisma DNS.


Saifuddin, yang juga Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN sementara itu menyifatkan program ini sebagai medan penting untuk perkongsian ilmu, pandangan dan pengalaman, khususnya dalam memperkukuh sistem pentadbiran yang berpaksikan rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page