Prestasi terbaik TH cerminkan hasil pembaharuan, tatakelola - PM Anwar
- Helmi Mohd Foad
- 22 hours ago
- 1 min read
Updated: 11 hours ago

Prestasi memberangsangkan Tabung Haji (TH) selepas lapan tahun melalui proses pemulihan mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menganggap ia sebagai khabar gembira buat umat Islam menjelang Aidilfitri.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pembaharuan itu merupakan ikhtiar untuk kembali memartabatkan TH selaras dengan semangat asal penubuhannya yang berteraskan pengurusan amanah dan tanggungjawab terhadap kepentingan umat Islam.
"Alhamdulillah, pengumuman dividen Tabung Haji (TH) hari ini yang mencatat prestasi terbaik dalam tempoh lapan tahun hadir sebagai khabar gembira buat umat Islam menjelang Aidilfitri.
"Pencapaian ini mencerminkan hasil pembaharuan yang menekankan tatakelola, memperbetulkan asas institusi serta mengembalikan disiplin dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan TH," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berharap khabar baik itu menambah rasa syukur dan ketenangan dalam menyambut Aidilfitri serta memperkukuh keyakinan umat terhadap usaha untuk terus memelihara institusi tersebut demi kepentingan bersama.
Terdahulu TH mengumumkan meningkatkan pengagihan keuntungan bagi tahun kewangan 2025 kepada sebanyak 3.50%.
Kadar yang diumumkan selepas ditolak zakat 2.577% bagi tahun kewangan 2025 itu meningkat sebanyak 0.25% sekali gus menyaksikan ia merupakan yang tertinggi sejak 2018.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dipetik sebagai berkata keseluruhan agihan keuntungan itu berjumlah RM3.22 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit TH.
