top of page

Prestasi lapan tahun PH terbukti angkat martabat rakyat N Sembilan

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • Aug 1
  • 2 min read

Prestasi pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) sepanjang lapan tahun menerajui Negeri Sembilan membuktikan kerajaan negeri berjaya mengangkat martabat rakyat melalui pencapaian ekonomi, pembangunan dan kebajikan yang memberi manfaat secara langsung rakyat di negeri ini.


Pengarah Komunikasi HARAPAN, Datuk Seri Fahmi Fadzil (gambar) berkata, rekod pentadbiran di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min, menjadi asas kukuh mengapa rakyat perlu mengekalkan kerajaan sedia ada pada Pilihan Raya Negeri kali ini.


"Pencapaian kerajaan negeri bukan sekadar slogan politik, sebaliknya dapat dilihat melalui peningkatan hasil negeri, pertumbuhan pelaburan serta pelbagai inisiatif yang memperkukuhkan kesejahteraan rakyat.


"Dalam tempoh lapan tahun sejak Datuk Seri Aminuddin Harun mengemudi Negeri Sembilan, macam-macam kebaikan yang telah kita saksikan," katanya pada program Grand Finale Kekal HARAPAN di Rompin, malam tadi.


Beliau berkata, antara pencapaian paling ketara ialah peningkatan hasil negeri dan kemasukan pelaburan yang lebih tinggi, sekali gus mewujudkan asas ekonomi yang lebih kukuh untuk pembangunan negeri.


Fahmi turut menyifatkan pembangunan institusi Islam sebagai antara kejayaan yang boleh dibanggakan apabila lebih banyak masjid dibina sepanjang pentadbiran HARAPAN berbanding kerajaan terdahulu.


"Kita nampak macam mana hasil bertambah, pelaburan meningkat dan kutipan zakat pun meningkat.


"Jumlah masjid yang dibina paling banyak dalam pentadbiran ini berbanding pentadbiran-pentadbiran sebelum ini.


"Dengan idea, dengan kekuatan, dengan semangat dan tenaga yang beliau dan pasukan bawa, saya percaya pentadbiran Pakatan Harapan mampu meletakkan Negeri Sembilan di satu tahap yang lebih baik berbanding dulu," kata Fahmi yang juga Menteri Komunikasi.


Sehubungan itu, Fahmi mengajak pengundi Negeri Sembilan menjadikan rekod pencapaian sebagai ukuran utama ketika membuat pilihan, bukannya dipengaruhi sentimen atau dakwaan yang tidak berasaskan fakta.


Mengulas mengenai kebajikan rakyat, Fahmi berkata kerajaan negeri juga terus menambah baik bantuan kepada warga emas menerusi manifesto baharu HARAPAN dan semua pencapaian tersebut hanya dapat diteruskan sekiranya kerajaan yang bersih, cekap dan berintegriti terus diberikan mandat oleh rakyat.


"Sebelum ini bantuan RM200 diberi kepada mereka berusia 70 tahun ke atas, tetapi dalam manifesto baharu umur itu diturunkan kepada 65 tahun. Mereka yang berusia 70 tahun ke atas pula akan menerima RM300.


"Marilah kita berikan sokongan padu. Kita kekalkan Tok Min, kita kekalkan Harapan dan insya-Allah kita kekal mentadbir Negeri Sembilan.


"Pilihlah yang terbaik daripada kalangan yang baik-baik. Kita telah lihat pemimpin yang terbaik ialah pemimpin yang antirasuah.


"Ingat satu mesej sahaja... kekal Harapan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page