Premium insurans kesihatan: KWSP simpanan waktu tua - Dr Sathia
- Suara Keadilan
- Jun 22
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Kesihatan (KKM) diseru mempertimbangkan semula cadangan membenarkan penggunaan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membayar premium insurans kesihatan swasta.
Ketua Cabang KEADILAN Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan (gambar) berkata, langkah membenarkan pengeluaran tersebut - terutamanya dalam landskap insurans swasta yang masih berorientasikan keuntungan dan kurang terkawal menimbulkan kebimbangan serius.
Menerusi satu kenyataan, beliau menegaskan bahawa KWSP ditubuhkan dengan tujuan melindungi masa depan persaraan rakyat, bukan menampung kos sektor kesihatan swasta yang semakin membebankan.
"Kami menghargai niat baik di sebalik cadangan ini iaitu bagi memastikan akses yang lebih luas kepada penjagaan kesihatan
"Namun, mengorbankan simpanan persaraan yang terhad untuk membayar produk yang mungkin tidak berkekalan dalam jangka panjang adalah berisiko.
"Tidak realistik mengharapkan rakyat mengorbankan jaringan keselamatan persaraan mereka semata-mata untuk mengejar kos sektor swasta yang semakin meningkat," katanya yang merupakan pengasas rangkaian klinik kesihatan SP Care group.
Beliau mengulas kesediaan kerajaan mempertimbang cadangan membenarkan pencarum menggunakan simpanan bagi membiayai premium insurans kesihatan.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dalam satu laporan media bagaimanapun berkata, pendekatan itu merupakan pilihan kepada pencarum, bersifat sukarela dan bukan wajib.
Sementara itu Dr Sathia menegaskan, penting supaya sebarang dasar kesihatan dirangka dengan perspektif jangka panjang dan sistematik, bukan langkah reaktif semata-mata.
Sebagai alternatif, beliau mencadangkan kerajaan membangunkan Skim Perlindungan Kesihatan Nasional yang adil, terkawal dan boleh dipertanggungjawabkan, untuk memperkukuh sistem kesihatan awam tanpa menjejaskan simpanan rakyat.
Comments