top of page

Potensi ‘Global South’, rangka semula tatanan baharu ekonomi global’ - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 5, 2024
  • 1 min read

ree

Oleh: Abdullah Zaid


Potensi kumpulan negara ‘Global South’ tidak hanya menumpukan peralihan kuasa ekonomi sedia ada tetapi mampu membentuk semula masa depan ekonomi global.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kumpulan negara Global South merangkumi negara-negara di seluruh Asia, Afrika dan Amerika Latin dilihat mampu menjadi pemain utama dalam kesejahteraan sosial dan pertumbuhan ekonomi global yang lebih stabil pada masa hadapan.


Justeru katanya, Malaysia ingin menekankan kepentingan untuk negara-negara Global South membina hubungan yang lebih erat, berkongsi pertumbuhan serta menyumbang ke arah tatanan dunia (global order) baharu yang lebih seimbang.


"Global South kini menyumbang kira-kira 40% daripada pengeluaran ekonomi dunia dan merupakan rumah kepada kira-kira 85% daripada populasi global.


"Seperti mana Rusia, kami juga melihat potensi dalam ekonomi negara-negara membangun ini, dan kami komited untuk mewujudkan perkongsian yang boleh memacu kemakmuran bersama.


"Oleh sebab itu, Malaysia sedang melihat peluang secara aktif dalam kalangan Global South dan menyertai rakan-rakan yang ingin mewujudkan paradigma pembangunan baharu yang lebih inklusif, berekuiti, mampan dan berdaya tahan," katanya.


Perdana Menteri berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama di sesi pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 hari ini.


Selain itu, bagi mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Rusia, Anwar berkata negara terbesar dunia itu boleh memanfaatkan kekuatan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam.


Menurutnya, Malaysia kini mempunyai ekosistem institusi yang teguh yang bukan sahaja mematuhi prinsip syariah tetapi melakukan inovasi dalam instrumen kewangan.


"Rusia, dengan populasi Islam yang ramai, berada di ambang potensi besar dalam kewangan Islam.


"Saya percaya pengenalan perbankan Islam di Rusia boleh memudahkan projek bersama dan menarik pelaburan besar daripada negara majoriti Muslim," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page