top of page

Politik pecah-belah bukan masa depan diinginkan rakyat N Sembilan

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
Jul 26
2 min read
DS Fahmi bertanya khabar penonton Program Wayang Pacak anjuran Finas, malam tadi
DS Fahmi bertanya khabar penonton Program Wayang Pacak anjuran Finas, malam tadi

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Fahmi Fadzil menegaskan politik yang memecah-belahkan rakyat berdasarkan kaum bukan masa depan yang diinginkan di Negeri Sembilan.


Beliau merujuk kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam kenyataan kontroversi bahawa "Cina ada negara China, India ada negara India, Melayu hanya ada Tanah Melayu."


Menurut Fahmi, kenyataan itu mencerminkan pendekatan politik yang tidak sihat kerana gagal memupuk perpaduan dalam masyarakat majmuk, sebaliknya hanya menggalakkan perpecahan dan prejudis antara kaum.


"Saya rasa kenyataan beliau itu mencerminkan satu sikap yang agak meluas dalam Pas. Bukan hanya daripada beliau, malah kita juga melihat kenyataan berkaitan isu pendatang daripada Presiden Pas.


"Ini bukan politik yang baik. Politik sepatutnya menggalakkan perpaduan, memahami perbezaan dan berusaha menyatupadukan rakyat, bukannya memecah-belahkan atau memisah-misahkan masyarakat," katanya pada Program Wayang Pacak anjuran Finas di pekan Rompin, semalam.


Fahmi berkata, kenyataan Sanusi itu turut menerima kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin Barisan Nasional (BN), sekaligus menunjukkan politik berasaskan perpecahan kaum tidak diterima oleh masyarakat.


Beliau berkata, ketika negara sedang menyambut Bulan Kebangsaan, semua pemimpin politik sewajarnya mengangkat mesej perpaduan dan kebersamaan, bukannya memainkan sentimen yang memecah-belahkan rakyat.


"Politik yang memecah-belahkan bukan politik yang kita mahukan di Negeri Sembilan ataupun di Malaysia.


"Kita sudah lama merdeka dan sepatutnya pada ketika ini kita bercakap tentang usaha untuk menyatupadukan rakyat, bukan membeza-bezakan mereka," katanya.


Fahmi berharap Sanusi mengambil iktibar daripada kritikan yang diterimanya dan mengubah pendekatan politik yang disifatkan memecah-belahkan masyarakat.


Mengulas dakwaan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai sokongan pengundi Melayu di Johor tidak sampai 10 peratus kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRN lalu, Fahmi berkata situasi di Negeri Sembilan tidak boleh disamakan dengan Johor kerana rakyat negeri ini lebih menilai rekod pentadbiran kerajaan negeri.


Menurut beliau, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun telah membuktikan kepimpinan yang inklusif dengan membela kebajikan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.


"Rakyat Negeri Sembilan bijak dan faham tentang kejayaan serta keupayaan pentadbiran Datuk Seri Aminuddin Harun.


"Beliau telah berkhidmat dengan cemerlang menjaga orang Melayu, orang Cina, orang India, Orang Asli dan seluruh rakyat Negeri Sembilan dengan sangat baik.


"Penerimaan terhadap beliau saya percaya cukup baik, dan saya melihat pandangan Khairy itu hanyalah satu pandangan politik semata-mata," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page