top of page

Politik negara dinilai dengan Siyasah Syar‘iyyah, bukan analogi masakan - Dr Mujahid

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 23, 2025
  • 2 min read

Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) menegaskan bahawa politik kenegaraan tidak wajar dinilai menggunakan analogi halal, haram dan syubhah seperti hukum makanan, sebaliknya perlu difahami melalui kerangka siyasah syar‘iyyah yang menekankan keadilan, kepimpinan dan kemaslahatan awam.


Menurut Timbalan Presiden AMANAH itu, tulisan Presiden Pas, Hj Abdul Hadi Awang bertajuk “Kabinet Bercampur Selera” yang mengulas rombakan Kabinet Perdana Menteri dengan analogi masakan adalah satu kekeliruan asas dalam memahami politik Islam.


"Politik negara bukan urusan dapur, dan siyasah syar‘iyyah bukan lanjutan fiqh pemakanan. Ia adalah disiplin yang mengatur kuasa, kepimpinan, keadilan dan maslahah awam, khususnya dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.


Dr Mujahid menjelaskan bahawa hukum halal dan haram makanan bersifat qat‘i serta melibatkan amalan individu, manakala urusan politik bergerak dalam ruang ijtihad, realiti semasa dan kepentingan umum.


"Jika analogi ‘campuran makanan’ diterima, maka Piagam Madinah yang melibatkan pelbagai agama dan kaum juga boleh dianggap syubhah. Hakikatnya, Piagam Madinah adalah contoh tertinggi siyasah Islam yang mengurus kepelbagaian secara adil dan konsep Madani hari ini adalah bersumberkan semangat Piagam Madinah tersebut," tegas beliau.


Sehubungan itu, beliau menyifatkan perbandingan yang dibuat sebagai qias fasid, iaitu kiasan yang tidak terpakai, kerana menyamakan tindakan siyasah negara dengan campuran makanan halal dan haram.


Mengulas penggunaan ayat al-Quran mengenai “jalan yang lurus”, Dr Mujahid menegaskan bahawa tafsiran tersebut sering disalahgunakan untuk menggambarkan hanya satu pendekatan politik sebagai benar.


"Jalan lurus merujuk kepada nilai seperti keadilan, amanah dan kebenaran, bukan kepada satu parti atau gabungan tertentu. Islam tidak pernah menetapkan satu model politik beku untuk semua zaman dan tempat. Petikan ayat dimanipulasikan dengan minda ketaksuban adalah satu kesalahan besar dalam memahami ayat al-Quran," katanya.


Beliau turut menegur penggunaan Surah al-Mumtahanah yang menurutnya jelas membenarkan umat Islam berlaku adil dan bekerjasama dengan pihak yang tidak memerangi agama, namun sering dipetik secara selektif.


"Melabel semua bentuk kerjasama politik sebagai syubhah aqidah hanya mencetuskan ketakutan agama tanpa asas yang kukuh. Salah satu maksud menunggang agama adalah memetik ayat untuk selera kumpulannya manakala pada ayat yang sama dia menafikan kepada kumpulan lain."


Dalam konteks Malaysia, Dr Mujahid menegaskan bahawa Islam kekal sebagai agama Persekutuan, institusi Islam tidak terjejas dan kebebasan beragama terus terpelihara.


Beliau juga menolak naratif bahawa politik Islam mesti berasaskan penyatuan bangsa semata-mata, sambil mengingatkan bahawa Rasulullah SAW disokong oleh pelbagai bangsa dan ditentang oleh sebahagian daripada bangsanya sendiri.


"Politik Islam yang meletakkan kebenaran bukan atas sesuatu kaum atau bangsa tetapi tertumpu pada paksi nilai keadilan dan perpaduan untuk kemakmuran negara," katanya.


Mengulas rombakan Kabinet, Dr Mujahid berkata perbincangan seharusnya tertumpu kepada persoalan pokok seperti kestabilan politik, usaha memerangi rasuah, kebajikan rakyat dan pencegahan konflik kaum.


"Dalam kaedah fiqh, tindakan pemerintah diukur berdasarkan maslahah rakyat. Jika sesuatu keputusan mencegah mudarat yang lebih besar dan menjaga kepentingan umum, maka ia berada dalam ruang siyasah syar‘iyyah yang sah. Malangnya minda Presiden Pas melihat kemaslahatan dalam ruang lingkup sempit diri dan partinya sahaja," jelasnya.


Justeru, Dr Mujahid menegaskan bahawa siyasah syar‘iyyah bukan alat menghalalkan pembangkang atau mengharamkan kerajaan.


Katanya, ia adalah disiplin untuk memelihara agama tanpa meruntuhkan negara, dan menegakkan prinsip tanpa menyalakan api permusuhan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page