Politik jenis apakah persenda usaha PM damaikan Thailand-Kemboja?
- Suara Keadilan

- Jul 31
- 1 min read

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bandar Tun Razak mengecam keras tindakan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, yang didakwa mempersenda dan memperlekeh usaha rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang dimediasi oleh Malaysia baru-baru ini.
Tindakan Fadhli yang memuat naik karikatur "monyet, kambing dan biri biri" berhubung usaha rundingan Thailand dan Kemboja disifatkan sebagai biadab dan tidak bertanggungjawab, lebih-lebih lagi ketika dunia memuji peranan aktif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam memudah cara gencatan senjata tanpa syarat antara kedua-dua negara yang terlibat dalam konflik sempadan.
Ketua Penerangan AMK Bandar Tun Razak, Muhammad Faiz Danial (gambar), menyifatkan kenyataan tersebut bukan sahaja mencemarkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa, malah menghina nilai-nilai Islam yang menganjurkan perdamaian dan keamanan.
"Ketika nyawa manusia menjadi taruhan, saudara Fadhli memilih untuk menyindir dan memperlekeh.
"Apakah beliau lebih rela melihat pertumpahan darah berterusan daripada menyokong jalan damai?
"Politik jenis apakah yang sanggup mempermainkan usaha murni ini?" soal beliau dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, AMK Bandar Tun Razak turut menuntut tiga tindakan segera daripada Ahmad Fadhli iaitu menarik balik kenyataan secara terbuka dan jelas; permohonan maaf rasmi kepada rakyat Malaysia, Thailand, dan Kemboja; dan komitmen semua pemimpin politik untuk menghormati usaha damai dan prinsip ajaran Islam dalam menyelesaikan konflik.
Tambah Faiz, usaha yang digerakkan oleh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan lambang keberanian diplomasi Malaysia yang menjulang prinsip kemanusiaan, perdamaian dan kerjasama serantau.
"Malaysia akan terus menjadi suara diplomasi dan kemanusiaan.
"Kami tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan usaha damai demi kepentingan politik murahan," kata beliau lagi.









Comments