Kartunis politik terkenal Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar muncul dengan koleksi kartun terbaharu era pandemik Covid 19.
Menurut Zunar, karya terbaharu ini merupakan kompilasi karikatur sindiran kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak cemerlang menjalankan tanggungjawab pemerintahan, apatah lagi gagal mengawal wabak.
Katanya dalam keadaan politik tidak menentu, beliau menawarkan koleksi kartun yang boleh menjadi terapi ketawa bagi mengurangkan ketegangan emosi dan mental.
"Covid 19 membawa efek negatif secara global dari segi kesihatan dan ekonomi. Tapi di Malaysia lebih teruk daripada itu. Ini kerana pada masa sama, kita juga mengalami ketidaktentuan politik yang membuat rakyat hidup dalam kemurungan. Saya bukanlah seorang doktor, tetapi saya suka menawarkan "Terapi Ketawa" bagi mengurangkan ketegangan itu.
"Oleh itu, saya mengumumkan penerbitan buku terbaru koleksi karya-karya saya - "Politik Caca Marba - Kartun2 Era PN".
"Politik Caca Marba adalah nukilan pemikiran dan pendirian saya mengenai isu-isu semasa politik di Malaysia, termasuk rasuah, pengkhianatan mandat rakyat dan ketidakmampuan memimpin.
"Juga mengenai katak politik, Doraemon, air suam, Covid, perlaksanaan undang-undang secara double standard antara para menteri dan rakyat, percubaan istihar darurat, Bajet dan sebagainya," kata Zunar dalam satu kenyataan.
Bagi Zunar, himpunan karya ini yang mengkritik cara kerajaan menangani pandemik Covid dan kemerosotan ekonomi perlu dihadam oleh minda yang kritis.
Kerajaan, katanya, harus membawa negara ke hadapan bukannya mengundur ke belakang.
"Pada pandangan saya pemimpin-pemimpin PN tidak mahir memerintah ditambah dengan tiada arah tuju yang jelas. Kerana itu, negara tidak menunjukkan kemajuan, sebalik mengundur.
"Memandangkan ia adalah satu bentuk terapi, saya mencuba bersungguh-sungguh untuk membawa isu-isu yang serius ini dalam bentuk yang sangat lucu," katanya.
Buku koleksi Politik Caca Marba boleh ditempah melalui laman web rasmi, www.zunar.my. Ia dilengkapkan dengan terjemahan bahasa Inggeris dan berharga RM30 setiap satu.
Comments