Pertembungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyerlahkan watak sebenar dua gabungan politik itu yang hanya ingin merebut kuasa tetapi tidak mempedulikan nasib rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ingatan, sekiranya kedua-dua gabungan tersebut diberi mandat dan membentuk kerajaan maka mereka mungkin akan tikam menikam sesama sendiri kelak.
Hal itu, katanya, boleh disaksikan dalam pergolakan Kerajaan Persekutuan yang mana kedua-dua pihak saling menjatuhkan antara satu sama lain, juga di Melaka sebelum DUN dibubarkan.
"Ini politik caca merba, mereka dalam kabinet hanya hanya untuk pegang kuasa tetapi dalam semua hal mereka bertempur. Termasuk di Melaka.
"Bayangkan kalau mereka bersama. Bayangkan kalau menang, BN, PN, tunggu masa untuk menikam satu sama lain.
"Bagi saya pilihan kepada rakyat Melaka ialah kestabilan politik untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang bergaya. Dan mestilah memilih satu pakatan yang boleh menjamin kestabilan dan tatakelola yang baik," katanya dalam perutusan khas menjelang penamaan calon PRN Melaka.
Mengenai persoalan yang masih dibahas selepas pengumuman memperkenalkan calon KEADILAN dan Amanah semalam, iaitu alasan PH menerima 'calon lompat' yang dianggap bertentangan dasar gabungan itu, Anwar menjawab bahawa calon-calon tersebut telah pun dipanggil oleh pemimpin Umno untuk berkompromi, tetapi mereka bertegas mempertahankan prinsip dan akhirnya dipecat.
"Naratifnya seperti disebut oleh PH Melaka 4 orang itu menarik sokongan untuk membolehkan parti yang mendapat mandat dalam PRU lalu kembali berkuasa. Ini yang penting. Dia bukan khianat amanah rakyat. Dia bincang bersama PH Melaka dengan sikap yang jelas untuk mengembalikan mandat yang dirampas sebelumnya.
"Walaupun kita ada keberatan, saya sendiri ada banyak persoalan sebelum bersetuju. DAP pula lebih tegas kerana tidak yakin dengan mereka. Tetapi selepas saudara Idris Haron dipanggil oleh Presiden Umno dan diminta satu kompromi, dan dia tegas 'saya sudah menyatakan sikap dan saya tidak boleh terima pimpinan yang menyeleweng dan rasuah dan mahu bersama PH' maka itu meyakinkan kawan-kawan kita dalam PH.
"Ada orang tanya tidak adakah dalam KEADILAN yang lebih layak (berbanding calon lompat)? Banyak yang layak tetapi saya tidak ambil sikap begitu kerana kita lihat pengorbanan mereka. Kesediaan mereka bersama dan konsisten mereka mengambil keputusan dan pendirian.
"Saya berikan mesej kepada rakyat. Kita tidak memusuhi ahli-ahli biasa Umno atau Pas. Kita musuhi kezaliman, penindasan. Yang terlibat dengan 1MDB itu bukan ahli biasa. Jika mereka mahu menyeberang (ahli biasa) kita mengambil sikap terbuka," kata Anwar.
Justeru, Presiden KEADILAN itu mengharapkan pengundi di Melaka menerima dan memberi sokongan kepada calon-calon PH pada 20 November nanti.
Katanya, PH telah membariskan pimpinan yang bersih sebagai calon, sebagaimana pernah disaksikan dalam kerajaan 22 bulan yang lalu.
"Kita harus bertekad untuk menyelamatkan negeri dari rampasan, tak ada balak, tak ada minyak dia rampas pasir. Demikianlah politik orang-orang ini
"Kita cuba pilih yang terbaik, punya trek rekod baik, disiplin, akhlak dan kesetiaan kepada perjuangan PH dan dasar-dasarnya. Melaka akan terselamat dengan tatakelola yang baik," kata Anwar lagi.
Comments