Polis perlu siasat insiden bakar karikatur PM - AMK Hulu Selangor
- Suara Keadilan
- Jun 24
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Hulu Selangor mengecam tindakan membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu demonstrasi yang berlangsung di Sabah baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan, AMK Hulu Selangor menyifatkan perbuatan itu suatu tindakan tidak matang, tidak bertamadun dan biadab, khususnya jika dilakukan oleh golongan mahasiswa yang sewajarnya menunjukkan contoh wacana intelektual yang membina.
"Semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dalam menyatakan pendirian tanpa menghina atau merendah-rendahkan mana-mana individu, lebih-lebih lagi pemimpin negara.
"Tindakan membakar karikatur seorang Perdana Menteri adalah perbuatan yang mencerminkan kegagalan dalam berwacana secara matang. Ia mencemarkan imej negara dan membelakangi nilai demokrasi yang sihat," kata mereka.
Sambil mempersoalkan motif di sebalik tindakan provokatif tersebut, AMK Hulu Selangor turut membuat seruan agar pihak berkuasa polis menyiasat sepenuhnya insiden tersebut dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat, demi memastikan undang-undang dihormati dan insiden serupa tidak berulang.
"Kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghina, apatah lagi merosakkan maruah pemimpin negara secara terbuka," tambahnya.
Sebelum ini, tular satu rakaman demonstrasi di Kota Kinabalu melibatkan tindakan peserta membakar karikatur menyerupai wajah Perdana Menteri.
Tindakan itu mendapat perhatian ramai yang menyifatkannya sebagai tidak mencerminkan budaya sebenar rakyat negeri Sabah.
Comments