Kehadiran pihak polis dalam pelbagai aktiviti kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai adalah prosedur biasa bagi memantau keselamatan dan ketenteraman awam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata begitu sebagai menjawab kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mendakwa kehadiran luar biasa pihak polis pada kempen PRK telah menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong Perikatan Nasional.
"Keberadaan polis dalam bentuk omnipresent adalah penting untuk menilai sesuatu keadaan.
"PDRM turut memantau tiada individu membangkitkan isu sensitif dan mengapi-apikan semangat sehingga membangkitkan isu perpaduan dan ketenteraman rakyat," katanya Saifuddin.
Perkara itu dinyatakan dalam sidang media selepas menghadiri program Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani, di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur pada Ahad.
Sementara itu Saifuddin membidas dakwaan Takiyuddin kononnya kehadiran polis memberi gambaran tidak sihat kepada amalan demokrasi negara.
Beliau menegaskan pihak polis bersikap profesional dan orang ramai tidak perlu risau dengan kehadiran pihak berkuasa.
"Orang ramai tidak perlu bimbang dan perlu patuh pada undang-undang sepanjang tempoh berkempen di DUN Pelangai.
"Paling penting adalah peluang setiap parti mendekati rakyat yang merupakan pengundi di kawasan itu tidak terhalang, tugas polis adalah menjaga keselamatan," tambahnya.
Comments