top of page

Polis diminta siasat segera dalang Langkah Dubai - Shamsul



Oleh: Helmi Mohd Foad


Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri hari ini membuat laporan agar pihak berkuasa menyiasat dakwaan pihak tertentu terdapat gerakan yang sedang diusahakan oleh beberapa Ahli Parlimen untuk menggulingkan Kerajaan Madani.


Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pendedahan yang dibuat oleh seorang penulis blog Raja Petra Kamarudin mendakwa terdapat gerakan dilakukan oleh Ahli Parlimen pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dihentikan kerana meresahkan rakyat dan pelabur asing.


"Gerakan dipanggil Langkah Dubai ini jelas satu tindakan tidak bertanggungjawab yang bukan sahaja mengganggu-gugat sistem demokrasi berparlimen malah sia-sia kerana Akta Anti Lompat Parti yang telah diluluskan, menghalang sebarang usaha menukar Perdana Menteri dan kerajaan di tengah pentadbiran.


"Saya yakin gerakan ini telah dimulakan oleh beberapa Ahli Parlimen termasuk pimpinan pembangkang yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini.


DS Shamsul dan Datuk Ismail Yusop memegang salinan laporan polis yang dibuat hari ini

Hadir sama Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Reformasi Undang-Undang dan Institusi), Datuk Suraya Yaacob dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti Datuk Ismail Yusop.


Shamsul Iskandar berkata tindakan mereka pada hakikatnya telah menimbulkan keresahan serta mencetuskan ketidaktenteraman awam.


"Cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan politik ini boleh mengancam keselamatan dan mesti digagalkan. Justeru itu, saya meminta pihak polis untuk menyiasat gerakan ini yang sangat jelas bertentangan dengan Seksyen 124B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan," katanya sambil menambah undang-undang sedia ada harus digunakan untuk menghukum pihak terbabit.


Tambah Shamsul, laporan sama turut dibuat serentak di 12 negeri iaitu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis, Pahang, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.


"Saya percaya lebih banyak laporan akan dibuat bagi memberikan ruang kepada pihak polis untuk memulakan siasatan kerana kita perlu tamatkan cakap-cakap atau cerita untuk menukar Perdana Menteri dan menggulingkan kerajaan," tegasnya.


Dalam pada itu, jelas beliau, pihaknya tidak mendedahkan nama-mana Ahli Parlimen yang terlibat di dalam laporan berkenaan namun percaya soalan tersebut mungkin dibangkitkan dalam proses mengambil keterangan nanti.


Katanya Akta Anti Lompat Parti yang telah digubal sepatutnya menjadi penamat kepada sebarang usaha untuk menukar kerajaan dan sebarang rasa tidak puas hati boleh dibawa ke Parlimen.


"Tidak perlu buat perkara yang boleh meresahkan rakyat dan masyarakat kerana ia akan memberikan kesan kepada ekonomi negara," ujarnya.


Ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa pembangkang sudah mempunyai cukup Akaun Berkanun (SD), beliau memberikan amaran bahawa perkara itu bukan satu bentuk hiburan atau semua orang boleh memberikan kenyataan tanpa sebarang rujukan undang-undang.


"Jangan lupa pada waktu hari pertama Perdana Menteri di Parlimen pada 19 Disember tahun lalu, perkara pertama dilakukan ialah membuat usul undi percaya, itulah yang sewajarnya dan mengikut Perlembagaan Persekutuan.


"Jadi apabila PM tampil buat undi percaya dan lulus dapat sokongan dan sekarang lebih dua pertiga, mana datangnya 120 SD?


"Mungkin Sanusi anggap ini macam karaoke setiap malam tetapi ini bukan hiburan, ini perkara serius dan perlu ditamatkan," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page