PN Terus Beretorik, Gagal Jadi Pembangkang Konstruktif, Bertanggungjawab
- Suara Keadilan

- Jul 31
- 3 min read
Updated: Aug 4

Oleh: Abshar Nurasyraf
ULASAN: Perikatan Nasional (PN), dengan jumlah kerusinya 72 di parlimen kini seharusnya bertindak menjadi kuasa alternatif kepada Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun, faktor-faktor seperti kelemahan krisis kepimpinan dalam serta hala tuju dasar menjadikan Perikatan Nasional gagal membentuk barisan pembangkang yang konstruktif dan berwibawa.
Perhimpunan “Turun Anwar” yang dianjurkan pada 26 Julai lalu di Dataran Merdeka dilihat sebagai usaha membangkitkan semangat akar umbi dalam suasana kepimpinan PN yang kian suram. Namun, perhimpunan itu gagal menembusi khalayak lebih luas dari kalangan rakyat marhaen dan kelompok biasa.
Majoriti peserta adalah penyokong tegar Pas dan Bersatu yang dikerah melalui Kawasan dan Bahagian masing-masing. Himpunan Turun Anwar juga dilihat gagal menarik kumpulan pengundi atas pagar atau kumpulan bukan partisan sekaligus gagal membawa mesej apa yang dibawa diinginkan mereka sebenarnya sekaligus menjadi retorik tunggangan pimpinan Perikatan Nasional semata-mata.
Bersatu: Antara legasi Muhyiddin dan cabaran masa depan
Kejayaan Perikatan Nasional dalam PRU15 sebahagian besarnya dipacu oleh pertembungan tiga penjuru serta gelombang penolakan terhadap Barisan Nasional. Namun selepas pilihan raya, BERSATU mula menunjukkan tanda-tanda perpecahan dalaman.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang pernah menjadi Perdana Menteri melalui “Langkah Sheraton”, kini semakin tenggelam dari arus politik utama. Tiada gagasan besar atau tindakan meyakinkan yang ditampilkan sejak dua tahun kebelakangan ini. Dalam parti sendiri, suara-suara mendesak beliau berundur semakin kuat, diikuti Datuk Seri Hamzah Zainudin disebut-sebut sebagai pengganti.
Hamzah juga tidak mempunyai karisma dan kewibawaan untuk menarik keyakinan pengundi dari pelbagai segmen sebagai calon Perdana Menteri.
Sejak penubuhan Bersatu pada 2016 oleh Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad, parti itu tidak pernah benar-benar bersatu. Kelompok Mahathir, Hamzah, dan Azmin Ali masing-masing membawa agenda dan motif politik sendiri, dan sehingga kini, tiada kesatuan kukuh yang dibentuk.
Jika Hamzah mengambil alih, besar kemungkinan Azmin akan diketepikan, dan ini bakal mencetuskan perpecahan dalaman yang lebih parah.
Pas: Terkunci dalam gaya politik 1980-an
Pas kekal dominan dalam PN dari segi bilangan kerusi, namun hala tuju politiknya masih terikat dengan ideologi konservatif pasca-1982. Walaupun mempunyai tokoh seperti Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang lebih sederhana dan diterima oleh pengundi pertengahan, dominasi kumpulan ulama konservatif menjadikan ruang untuk perubahan amat sempit.
Sejarah membuktikan bahawa Pas pernah cuba berubah semasa era almarhum Fadzil Noor, Pas membuka ruang kepada golongan profesional bukan agamawan, dengan harapan mendekati pengundi bukan Melayu dan kelompok sederhana. Tetapi selepas Almarhum Fadzil Noor meninggal dunia dan Tuan Guru Hadi Awang mengambil alih, Pas kembali kepada pendekatan yang lebih “tradisional” atau lama. “Pembersihan” dalaman melalui muktamar pada 2015 mengukuhkan lagi pengaruh kelompok konservatif di dalamnya, sekaligus menutup terus laluan kepada reformasi dalam parti.
Dr Ahmad Samsuri mungkin mempunyai potensi sebagai pemimpin nasional, namun selagi struktur parti dikawal kelompok keras, sukar untuk beliau ke depan tanpa risiko disingkirkan seperti pemimpin sederhana sebelum ini.
Masa depan PN: Pembangkang membina atau terus beretorik?
Realitinya, Perikatan Nasional masih mempunyai ruang untuk menjadi pembangkang yang konstruktif. Dengan kedudukan kuat di Parlimen, Perikatan Nasional masih boleh memainkan peranan semak dan imbang, serta menawarkan cadangan dasar yang lebih baik untuk rakyat. Namun malangnya, mereka lebih memilih jalan mudah dalam mengapi-apikan emosi perkauman dan membina sentimen kemarahan demi kelangsungan politik.
Pendekatan ini hanya mengukuhkan sokongan dalam kelompok sendiri, tetapi hakikatnya mereka sedang menjauhkan mereka daripada pengundi dari kalangan atas pagar dan bukan Melayu. Tanpa perubahan pendekatan, sukar untuk mereka meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah pilihan atau alternatif terbaik menggantikan kerajaan sedia ada.
Sebaliknya, selepas Langkah Sheraton, kita mampu untuk melihat bagaimana blok pembangkang dinakhodai Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu yang mengambil langkah rasional dengan menyokong dan memeterai rundingan memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan yang dipimpin PM Ismail Sabri waktu itu. Langkah ini membuka ruang kerjasama demi kestabilan negara.
Jika Perikatan Nasional benar-benar ingin menjadi kuasa alternatif yang serius, ia perlu keluar dari kepompong politik “emosi” dan membina semula naratif baru yang lebih inklusif, rasional dan berpaksikan penyelesaian.
Akhir kata, Malaysia memerlukan pembangkang yang matang, berkonstruktif, berprinsip dan bersedia memikul tanggungjawab bukan sekadar “menentang untuk menentang”. Demokrasi yang sihat hanya akan terjamin jika wujud pembangkang yang mampu menjadi suara rakyat dengan gagasan yang jelas, bukan sekadar dengan retorik kosong dan amarah politik.
Penulis merupakan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Bukit Mertajam, Pulau Pinang.









Comments