top of page

PN seperti pengantin 'bersendirian' di atas pelamin PRN N Sembilan

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 13 hours ago
  • 2 min read

Kenyataan Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bakal menjadi ‘turning point’ untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, disifatkan sebagai angan-angan yang tidak berpijak pada realiti politik semasa.


Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Fadzli Roslan berkata, jika itu ukuran keyakinan Perikatan Nasional (PN), nasihat beliau cukup mudah, iaitu ‘teruskan bermimpi’.


"Sebelum terlalu yakin mahu bercakap soal menumbangkan PH di peringkat Persekutuan, PN sepatutnya memberi tumpuan kepada keadaan mereka sendiri.

Fadzli Roslan
Fadzli Roslan

"Jangan sampai sejarah pahit yang berlaku di Johor berulang kembali apabila strategi yang disusun akhirnya memakan diri sendiri (kalah semua kerusi DUN dipertandingkan).


"Lebih menghairankan (terbaharu), PN hanya bertanding 11 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan. Angka itu sahaja sudah cukup menggambarkan bahawa mereka sendiri tidak mempunyai kekuatan untuk menawarkan sebuah Kerajaan Negeri yang stabil.


"Bagaimana mahu bercakap tentang mengambil alih pentadbiran negeri sedangkan jumlah kerusi yang ditandingi pun tidak memungkinkan mereka memperoleh majoriti?," katanya sambil mempersoalkan rasional di sebalik keyakinan gabungan itu untuk mentadbir negeri.


Menurut Fadzli lagi, PN kini dilihat lebih bergantung kepada harapan wujudnya kerjasama dengan BN selepas pilihanraya berbanding menawarkan keyakinan kepada rakyat sebelum pilihanraya.


Malah katanya, hubungan PN dengan Barisan Nasional (BN) pula masih kabur kerana tiada pendirian yang benar-benar jelas, tiada persefahaman yang diumumkan secara terbuka, sebaliknya hanya spekulasi yang terus dimainkan.


"Keadaannya seolah-olah PN sedang berdiri di pelamin seorang diri, menunggu kalau-kalau ada ‘pengantin’ yang sudi datang meminang selepas keputusan diumumkan.


"Rakyat tidak mengundi untuk melihat siapa yang paling bijak berunding selepas pilihanraya. Rakyat mengundi untuk memilih gabungan yang mempunyai mandat yang jelas, kepimpinan yang diyakini dan pelan pentadbiran yang stabil sejak hari pertama.


"Negeri Sembilan hari ini berada di landasan yang baik di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. Prestasi pentadbiran negeri, kemasukan pelaburan serta kestabilan politik menjadi bukti bahawa kerajaan sedia ada mempunyai rekod yang boleh dinilai oleh rakyat.


"Rakyat Negeri Sembilan cukup matang untuk membuat keputusan. Mereka mampu membezakan antara gabungan yang datang membawa rekod pentadbiran dengan gabungan yang masih mencari-cari arah serta bergantung kepada percaturan selepas pilihanraya," ujarnya lagi.


Semalam, Ahmad Fadhli dilapor berkata, momentum yang bakal tercipta di Negeri Sembilan akan menjadi detik bersejarah yang menjadi pemula kepada penolakan gabungan itu di peringkat Persekutuan.


Beliau menjelaskan, situasi di Negeri Sembilan ketika ini amat menarik untuk diperhatikan, berbeza dengan fasa pertama di Johor sebelum ini yang berlangsung dalam keadaan perancangan dan situasi yang kurang mengizinkan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page