PN mahu tawan Putrajaya, politik dalaman pun berpecah - Dr Suhaimi
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Perikatan Nasional (PN) perlu menjelaskan hala tuju gabungan itu kepada rakyat sebelum menawarkan diri sebagai alternatif untuk mentadbir negara, terutama ketika kedudukan dan hubungan antara parti komponennya masih menimbulkan tanda tanya.
Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan dalaman parti lain, namun apabila sesebuah gabungan menawarkan diri sebagai alternatif untuk mengemudi negara, masyarakat berhak mempersoalkan apakah sebenarnya hala tuju parti berkenaan.
"Hari ini (kelmarin) saya membaca kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa PN akan membincangkan hala tuju gabungan itu selepas Muktamar Pas, termasuk kedudukan Bersatu dalam PN.
"Ini bukan perkembangan kecil. Beberapa hari lalu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata pintu perdamaian dengan Bersatu sudah tertutup. Bersatu juga tidak dijemput menghadiri Muktamar Pas kali ini.

"Pas dan Bersatu pernah berdiri bersama atas satu pentas, menggunakan satu logo dan menawarkan satu gabungan kepada rakyat.
"Sekarang mereka (pula) bertanding sesama sendiri, berbincang tentang rakan baharu dan masih perlu bermesyuarat untuk menentukan kedudukan antara satu sama lain," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, politik bukan sekadar tentang siapa mahu mengambil alih Putrajaya tetapi siapa yang benar-benar bersedia mengurus negara.
Ujarnya, mengurus negara jauh lebih rumit berbanding mengurus sebuah gabungan politik, justeru kestabilan dan hala tuju yang jelas amat penting sebelum sesebuah gabungan menawarkan diri untuk mengambil alih pentadbiran negara.
"Kita mengurus ekonomi hampir 35 juta rakyat, hubungan antara negeri dan Persekutuan, pelaburan, pendidikan, kesihatan, subsidi serta hubungan antarabangsa.
"Sebab itu kestabilan politik bukan perkara main-main. Ekonomi Malaysia berkembang 6 peratus pada suku kedua 2026, melebihi jangkaan konsensus 5.8 peratus. Ringgit pula berada sekitar RM4.04 berbanding dolar AS walaupun berdepan tekanan pasaran global.
"Kerajaan MADANI tentu sekali belum sempurna. Kos sara hidup masih perlu ditangani (dan) reformasi mesti diteruskan. Setiap kelemahan kerajaan wajar ditegur dan diperbaiki, tetapi rakyat juga perlu menilai politik dengan ukuran yang sama," katanya.
Menurut beliau lagi, jika kerajaan dituntut mempunyai dasar yang jelas, pihak pembangkang juga perlu mempunyai hala tuju yang jelas.
Ujarnya, jika kerajaan dituntut untuk kekal stabil, mereka yang mahu menggantikannya juga perlu membuktikan bahawa mereka sendiri mampu mewujudkan kestabilan.




Comments