Keazaman pemimpin PN yang berkobar kobar mahu mengambilalih Selangor dalam Pilihan Raya Negeri Mei ini perlu ditanggapi secara matang oleh rakyat negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata sejarah PN memerintah Malaysia sejak 2020 hingga 2022 membuktikan perikatan itu tidak berjaya mewujudkan kestabilan, dan hal itu perlu dijadikan pengajaran kepada pengundi untuk memilih dengan betul.
"Sudah dua tiga tahun kerajaan kita tidak stabil. Di depan mereka (PN - BN) duduk sama, di belakang mereka bertikam. Itu yang jadi Perdana Menteri bertukar 2 ke 3 kali.
"Inilah orang yang kononnya nak ambil alih Selangor, nak bawa kemakmuran, kestabilan. Tetapi sejarah mereka hanya menimbulkan kekacauan politik sehingga pelabur rasa bimbang. Orang ini tidak wajar kita beri tanggungjawab kerana negeri ini perlukan kestabilan.
"Aaya percaya rakyat dan penduduk Selangor boleh meneruskan mandat kepada kita (Pakatan Harapan) dan meneruskan sokongan tanpa berbelah bahagi.
"Kita memang tidak (sepenuhnya) sempurna tetapi kalau dibanding negeri lain, saya percaya kita masih lagi terbaik dari segi pengelolaan, keberkesanan, integriti, kemakmuran dan utamakan rakyat berbanding pihak yang ada angan angan nak ambil negeri ini," katanya dalam ucapan pada pesta perayaan Pongal di DUN Sungai Tua semalam.
Amirudin berharap dengan semangat perayaan Pongal, masyarakat India di Selangor yang bersyukur dengan hasil, kekayaan dan kemakmuran negeri akan memastikan pentadbiran negeri terus berada di pihak yang betul.
Beliau menyeru agar rakyat Selangor menolak PN yang menggunakan sentimen politik dan agama sempit dalam perjuangan politik mereka.
"Kecurigaan berterusan itu menyebabkan kita terpisah, cukuplah kita bergaduh selama ini, perpecahan di sana sini. Saya rasa di Selangor kita tidak boleh ada keadaan itu
"Konon kita tidak jujur sebab berkerjasama dengan BN, ada yang kata BN tidak jujur sebab kerjasama dengan PH.
"Kita tidak kerjasama waktu pilihanraya, lepas PRU kita perlu kerjasama kalau tidak mana ada kestabilan. Yang tuduh kita pun dulu mereka kerjasama dengan BN. Cuma semasa mereka kerjasama mereka menjadi rakan kongsi tidak jujur. Tikam kawan. Ini tidak boleh. Kumpulan oportunis ini sangat bahaya untuk masyarakat kerana tiada kebertanggungjawaban. Mereka fikir dapat jadi Menteri semata mata tanpa fikir jangka panjang," katanya lagi.
Kommentare