PN lawan semua, sanggup perleceh Agong, Darurat kuasa penuh kerajaan - Anwar


Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sampai ke tahap 'kegilaan' yang tidak pernah berlaku dalam sejarah apabila hilang keabsahan tetapi menyalahgunakan Perlembagaan mengakui mereka berkuasa penuh.


Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sikap biadap yang ditunjukkan oleh PN dalam beberapa hari ini kononnya Yang di-Pertuan Agong tidak boleh campurtangan dalam urusan kerajaan berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.


"Sepertimana yang saya ungkapkan semalam, ini soal teknikal. Agong sebut langgar Perlembagaan, langgar kuasa Raja, ketepikan Parlimen. Apa jawapan (kerajaan PN), ini kuasa kami Perkara 40 (1). Bukankah ini biadap?


"Dalam pimpinan negara kita, belum pernah kita lihat penderhakaan seperti ini. Yang saya musykil bagaimana mungkin menteri-menteri Melayu dan beberapa orang bukan Bumiputera boleh hanya diam atau pun memilih untuk mencabar keputusan Tuanku dengan memberi kenyataan menyokong PM yang ada sekarang? Yang hilang keabsahan dan jumlah tetapi mengambil tindakan mencabar keputusan Agong," katanya dalam siaran Facebook, malam tadi.


Ahli Parlimen Port Dickson itu sebelum ini telah pun berhujah, dalam situasi Darurat perlu kerajaan PN melihat Perkara 150 Perlembagaan yang mensyaratkan semua Proklamasi dan Ordinan Darurat dibahas serta diundi di Parlimen.


Bagaimanapun, pentaksub kerajaan PN mengelirukan rakyat bahawa kuasa Agong untuk meluluskan undang-undang atau memberi perkenan telah dicabut dalam krisis Perlembagaan pada 1983 dan 1993. Perlembagaan pula telah dipinda pada 1994.


Namun tiada seorang pun menyedari Perkara 38 yang dipinda, terutama 38(4), berkenaan kuasa istimewa Yang di-Pertuan Agong terkait isu Darurat ditolak oleh Majlis Raja-raja dan tidak dipersembahkan kepada Agong.


Hakikatnya, secara teknikal kuasa Agong masih belum dicabut berkaitan Perkara 150 berkenaan Proklamasi Darurat, yang bukanlah isu biasa pemerintahan.


Oleh itu, menurut Anwar, kerajaan PN yang terdesak hari ini mengambil pendekatan melawan semua, termasuk anak muda, doktor kontrak malah Agong untuk meneruskan kekuasaan.


"Mahu demokrasi tetapi tak berani adakan Parlimen. Adakan Parlimen tidak ada pengundian kerana takut akan kalah.


"Mereka memang tahu bahawa jumlah (sokongan) telah kurang. Sepatutnya seorang yang ada akhlak dan kewibawaan patut undur. (Sebaliknya) sampai sekarang lawan semua, anak muda, lawan doktor, lawan Yang di-Pertuan Agong pun," ujarnya.


Menyentuh fitnah kononnya Ketua Pembangkang diterima menghadap Agong di istana Pahang semalam, Pengerusi Pakatan Harapan itu menegur pihak media yang tidak mendapatkan berita dari sumber yang sahih.


"Dan ada saya lihat yang sokong mereka (kerajaan PN adalah) JKOM, masa inilah nak fitnah, nak timbulkan keresahan.


"Hari ini kata Anwar mengadap Agong. Saya nak nasihatkan kepada media, kalau nak lapor biar tanya sumber yang sahih. Kalau saya mengadap Agong itu mesti kenyataan dari pejabat saya atau pejabat Ketua Pembangkang. Takkan lah melalui sumber dipercayai, sumber dekat dengan KEADILAN. Ini tak boleh," katanya.


Manakala kepada propagandis di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia atau pun JKOM, beliau menasihatkan kedudukan kerajaan PN tidak lama dan janganlah sombong menggunakan kuasa sehingga sanggup memfitnah.


"Jangan kita terperangkap dengan mainan kotor PN dan JKOM, yang saya nak nasihat kedudukan mereka tak lama. Jadi jangan terlalu takabur dan sombong. Lakukan yang sebaiknya, jangan fitnah dan kelirukan," katanya lagi.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER