PMX fokus teknologi hijau di G20, perkukuh imej Malaysia di rantau Afrika
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak G20 baru-baru ini dilihat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara membangun yang berupaya meneroka teknologi hijau dan penyelesaian karbon rendah.
Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, pendirian Malaysia di pentas G20 selari dengan realiti semasa ketika dunia kini berdepan fenomena cuaca ekstrem dan perubahan iklim yang tidak menentu, namun menawarkan alternatif kepada negara Selatan Global dalam pasaran dunia yang semakin dipacu dasar perlindungan dan tarif.
"Kita sedang berdepan dengan perubahan cuaca yang tidak menentu dan ekstrim. Bagi negara membangun bidang ini masih baru lagi, tetapi telah diberi penekanan oleh negara maju.
"Maka ucapan Perdana Menteri sangat sesuai dengan keadaan Malaysia yang kini memang sedang bekerja keras mengupayakan teknologi hijau dan pengurangan karbon. Maka sidang G20 ini adalah ruang yang sangat besar kepada peluang dan potensi Malaysia," kata Suhaizan kepada Suara Keadilan.
Ujar Suhaizan, komitmen Malaysia turut diperkukuh melalui beberapa dasar dan akta baharu yang meletakkan negara sebaris dengan ekonomi maju dalam usaha menurunkan pelepasan karbon.
Antaranya penggubalan Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 (CCUS) yang diluluskan pada Mac 2025 dan berkuatkuasa pada Ogos 2025.
"Akta ini menyediakan rangka undang-undang menyeluruh bagi tangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon dioksida (COâ‚‚). Ia membolehkan industri melaksanakan projek penangkapan dan penyimpanan kekal COâ‚‚ sebagai langkah penting menuju ekonomi rendah karbon.
"Selain itu, Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 (Akta 861) dan Peraturan-Peraturan Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 diiwartakan mulai 2025.
"Ini undang-undang pertama negara yang mewajibkan piawaian kecekapan tenaga kepada bangunan, industri dan pengguna tenaga utama, sekaligus mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon," kata bekas Speaker DUN Johor itu lagi.
Tambah Suhazian, Malaysia turut merangka Dasar Perubahan Iklim Nasional 2.0 (NCCP 2.0) semenjak 2024 bagi mengurangkan pelepasan karbon secara bertransisi ke ekonomi rendah karbon bagi meningkatkan daya tahan iklim.
Dalam pada itu Suhaizan menjelaskan, usaha Malaysia menuju teknologi pengurangan karbon dan tenaga hijau bukan sahaja meningkatkan imej negara sebagai peneroka teknologi baharu, malah meletakkan negara ini pada posisi strategik untuk berkongsi kepakaran dengan negara Selatan Global sebagai alternatif kepada pasaran negara maju yang kini semakin dilindungi tarif.
"Malaysia masih baru lagi dalam bidang ini, namun tenaga baru sedang digembeling untuk memenuhi pasaran yang semakin meningkat. Bidang-bidang baru telah dibuka di universiti tempatan dan disitu kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan akan melahirkan potensi pekerjaan dan ekonomi yang lebih besar.
"Malaysia dijangka mampu menarik pelaburan sehingga RM 637 bilion dalam pelbagai teknologi hijau menjelang 2050.
"Pelaburan hijau ini turut dijangka mewujudkan sekitar 310,000 pekerjaan, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE), bahan hijau, kitaran semula, pengurusan tenaga rendah karbon dan sebagainya," katanya lagi.





