Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atas kejayaan badan penguatkuasaan itu mengutip cukai sebanyak RM55.1 bilion sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan pada tahun lalu.
Perdana Menteri (PM) berkata kejayaan itu merupakan hasil kesungguhan dan pengorbanan anggota agensi tersebut di seluruh negara dengan kerjasama pasukan keselamatan serta agensi penguatkuasaan yang lain.
"Saya hadir bagi menyatakan penghargaan yang membanggakan bagi pihak kerajaan. Kalau tidak ada peningkatan kecekapan dan ketirisan dibiarkan berlaku dan dibiarkan kelompok kecil memindahkan (kekayaan), tidak mungkin kastam boleh membuat kutipan yang membanggakan," katanya ketika berucap meramsikan sambutan Hari Kastam Sedunia ke-42 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya hari ini.
Hadir sama Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizah, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.
Kutipan tersebut melepasi sasaran RM53.5 bilion bagi tahun 2023 iaitu lebihan sebanyak RM1.6 bilion. Bagi tahun 2024, Kementerian Kewangan meletakkan sasaran kutipan cukai kastam sebanyak RM56 bilion.
Anwar yang juga Menteri Kewangan melahirkan keyakinan JKDM dapat melepasi sasaran kutipan yang ditetapkan bagi tahun ini.
Justeru itu, bagi menghargai sumbangan agensi penguatkuasaan itu, Anwar memberikan jaminan kerajaan akan memastikan bayaran bonus yang lebih baik pada tahun ini berbanding tahun lepas.
Selain itu, katanya pada tahun ini kerajaan juga memberikan keutamaan bagi memperbaiki keadaan perumahan penjawat awam terutamanya badan penguatkuasaan termasuk kastam, polis dan tentera.
Untuk itu katanya, kerajaan bersetuju memberikan peruntukan sebanyak RM50 juta lagi sebagai tambahan daripada RM20 juta yang telah disediakan sebelum ini.
Dalam Belanjawan Madani 2024 sebelum ini, Anwar mengumumkan peruntukan RM2.47 bilion bagi tujuan pembinaan perumahan rakyat.
"Kita beri keutamaan kepada perumahan pada tahun 2024, kita minta segerakan....proses tender harus dipatuhi tapi boleh disegerakan. kalau rumah robek nak tunggu enam bulan itu satu penyiksaan dan penderaan kepada anak-anak," katanya sambil berkata seandainya terdapat keperluan tambahan oleh pihak kastam, kerajaan bersedia mempertimbangkannya.
"Selain itu, hal kebajikan kakitangan terutamanya dalam kalangan pendapatan rendah, pendidikan dan kemudahan asas seperti komputer ini harus dikenal pasti supaya anak ke sekolah ada kemudahan asas. Kerana saya hargai pengorbanan saudara dan ini akan terpakai kepada semua agensi, polis dan tentera.
"Supaya ibu bapa yang menyabung nyawa di barisan hadapan tidak terganggu dengan masalah asas di rumah, ada pertimbangan khas dirangka," katanya lagi.
Comments