top of page

PM umum tambahan dana RM100 juta bantu rakyat Palestin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 25
  • 2 min read

DS Anwar mengumumkan tambahan dana membantu rakyat Palestin yang dizalimi Israel di Dataran Merdeka
DS Anwar mengumumkan tambahan dana membantu rakyat Palestin yang dizalimi Israel di Dataran Merdeka

Oleh: Akmal Manaf


Usaha solidariti terhadap Palestin terus diperkasa apabila Kerajaan MADANI mengumumkan tambahan dana RM100 juta sekali gus mencerminkan komitmen tanpa berbelah bahagi untuk membantu rakyat negara itu.


Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha membantu rakyat Palestin masih belum selesai dan sokongan terhadap mereka harus digandakan.


Ujarnya, Malaysia bersama rakan antarabangsa akan terus menyalurkan bantuan daripada segi rawatan perubatan hingga peluang pendidikan.


"Kita tahu adakalanya perjuangan ini terasa melelahkan. Kadangkala terasa buntu dan tanpa harapan. Tetapi janji Allah jelas.


"Pertolongan-Nya itu dekat. Kita perlu terus percaya dan teguh melangkah tanpa takut dan gentar. Percayalah, kebenaran dan keadilan pasti akan menang," katanya.


Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau susulan perhimpunan solidariti bersama rakyat Palestin di Dataran Merdeka malam tadi.


Perhimpunan berkenaan menyaksikan puluhan ribu rakyat Malaysia berkumpul menyatakan solidariti menolak kezaliman dan menuntut keadilan buat Palestin.

Puluhan ribu rakyat Malaysia bersolidariti menyatakan sokongan terhadap Palestin yang dikepung Israel
Puluhan ribu rakyat Malaysia bersolidariti menyatakan sokongan terhadap Palestin yang dikepung Israel

Anwar yang juga Presiden KEADILAN menyifatkan, suara yang bergema malam tadi bukan suara parti atau kaum, tetapi suara rakyat Malaysia yang menuntut keadilan.


"Malaysia tidak pernah berpaling. Dalam setiap pertemuan antarabangsa, di Tokyo, Beijing, New Delhi, mahupun Eropah, tidak pernah saya lupa untuk membawa suara saudara kita yang dizalimi di Gaza.


"Bulan ini bulan kemerdekaan kita. Seperti pejuang-pejuang lampau di tanah air, di Indonesia, India, Vietnam yang bangkit melawan penjajah, maka semangat merdeka itu kini kita teruskan bersama Palestin.


"Atas semangat ini, kita kirimkan segala usaha dan doa kita buat rakan-rakan aktivis yang akan belayar ke Gaza pada 31 Ogos ini," katanya lagi.


Dalam pada itu, Anwar sekali lagi menegaskan pendirian Malaysia bahawa negara ini tidak akan meninggalkan rakyat Gaza.


Sebaliknya kata beliau Malaysia menjunjung tinggi semangat dan perjuangan mereka serta berikrar untuk terus bersama sehingga ke akhirnya dengan izin Allah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page