top of page

PM umum RM1.2 juta untuk baik pulih asrama sekolah menengah



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi arahan supaya kerja-kerja membaik pulih asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail di Rembau, Negeri Sembilan yang terbakar sejak tahun lalu disegerakan.


Pada lawatan bagi meninjau blok asrama lelaki sekolah itu semalam, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM890,000 daripada peruntukan asal sebanyak RM3 juta sebelum ini.


"Saya akan pastikan peruntukan (baik pulih) ditambah dan pelaksanaan disegerakan (kerana) saya difahamkan kelulusan diberikan sekitar RM 3 juta, tetapi dengan melihat keadaan asrama tentunya tidak mencukupi.


"Saya akan minta Menteri Besar berbincang dengan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya Kementerian Kewangan dapat beri kelulusan khas supaya dipercepatkan dan dijadikan ‘fast track’," katanya.


Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebelumnya meluangkan masa kira-kira 20 minit melihat sendiri kemusnahan blok asrama itu.


Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Rembau Datuk Seri Mohamad Hasan.


Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM310,000 bagi membaik pulih bilik guru dan surau sekolah yang merupakan antara sekolah cemerlang di Negeri Sembilan itu.


"Kita lihat juga sekolah ini tidak daif, tetapi dari segi prasarana sangat sederhana dan kalau kita tengok asrama itu kesesakannya luar biasa kerana kemudahan agak minima.


"(Tetapi) masih mampu (menampung) kerana komitmen dan dedikasi tenaga pengajar serta disiplin pelajar-pelajar dapat mengangkat martabat sekolah. Saya percaya sekolah ini bukan sahaja cemerlang tetapi mampu menjadi contoh," tambahnya.


Kebakaran membabitkan 10 bilik asrama itu pada Julai lalu telah menyebabkan kira-kira 150 daripada 300 pelajar lelaki terpaksa menumpang sementara di kuarters rumah pengetua dan rumah penolong kanan pentadbiran sekolah.


Dewan asrama juga turut telah dijadikan tempat tidur sementara pelajar terbabit sementara menunggu kerja baik pulih siap dilaksanakan.

0 comments

Kommentare


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page