Oleh: Abdullah Zaid
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan permulaan sebanyak RM4 juta kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) bagi merangsang penglibatan rakyat dalam kegiatan kewangan bersifat koperasi.
Perdana Menteri (PM) berkata inisiatif itu akan diperkukuhkan lagi dengan penglibatan seluruh jentera kementerian dan jabatan bagi membantu koperasi-koperasi negara.
"Tumpuan gerakan koperasi setakat ini hanya bergantung kepada KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) tetapi saya meminta seluruh jentera kerajaan untuk beri perhatian kepada koperasi.
"Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ada peruntukan kedai-kedai Rahmah, saya mahu sebahagian peruntukan tersebut bermula RM2 juta diberikan kepada Angkasa.
"Kita juga ada Perkampungan Madani yang sekarang ini terdiri daripada golongan belia, wanita, jadi saya mahu agenda koperasi dimasukkan dalam organisasi dan RM2 juta disalurkan kepada koperasi-koperasi melalui Angkasa," katanya dalam Majlis Penutupan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), hari ini.
Dalam pada itu, PM pada ucapannya turut mengingatkan peruntukan dana tersebut perlu diselesaikan segera bagi memastikan agenda memperkasa koperasi dapat direalisasikan.
"Saya minta KSN bantu selaraskan supaya peruntukan dapat disalurkan segera, saya tidak mahu akhir tahun nanti, masih belum dapat bantuan, saya tidak mahu begitu, ini Kerajaan Madani.
"Hari ini umum, hari Rabu (minggu hadapan) saya sahkan dalam Jemaah Menteri. Dalam masa dua minggu dana sudah disalurkan," ujarnya.
Katanya, pemerkasaan koperasi disifatkan perlu memandangkan jumlah aset keseluruhan kini mencecah lebih RM64 bilion namun masih ketinggalan berbanding negara serantau termasuk Indonesia dan Thailand.
Comments