
Peruntukan sebanyak RM 1 juta diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyokong aktiviti keilmuan Kursi Siddiq Fadzil di Universiti Selangor (UNISEL).
Hal itu diumumkan beliau ketika berucap dalam syarahan ulung Kursi Siddiq Fadzil bertajuk Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan di Dewan Canselori Universiti Selangor, Bestari Jaya, pagi tadi.
Dalam ucapan itu Anwar menyentuh berkenaan kerangka pemikiran yang dibawa oleh Dr Siddiq Fadzil cenderung ke arah mesej pembaharuan atau islah yang turut beliau lontarkan sebelum ini.
"Sudah sampai ketika kita bangkit generasi baharu yang menolak fahaman jumud dan kolot serta rugikan bangsa, bangkit sebagai kekuatan semua kaum, kebangkitan yang mempertahankan akidah, nilai dan akhlak, kebenaran dan keadilan.
"Bangkit sebagai kekuatan baharu masyarakat madani Malaysia," katanya.
Dalam Belanjawan 2022 lalu, kerajaan Selangor telah menyalurkan peruntukan RM1 juta bagi menyokong penubuhan Kursi Siddiq Fadzil
Untuk rekod, Kursi dan Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil ditubuhkan di Universiti Selangor (UNISEL) pada 2022 menerusi peruntukan RM5 juta.
Selain memperingati ketokohan Dr Siddiq, penubuhan kursi dan institut tersebut bertujuan mengupas pemikiran almarhum yang berpengaruh dalam bidang akademik, Islam dan kebudayaan Melayu.