PM ulangi komitmen 40% hasil Sabah, sokong calon ada hubungan Putrajaya
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi penegasannya tentang komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memulangkan 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sambil menolak dakwaan bahawa pentadbirannya tidak serius melaksanakan tuntutan tersebut.
Perdana Menteri menegaskan proses teknikal berhubung bayaran interim dan rundingan 40 peratus telah berjalan dan kerajaan perpaduan kekal berpegang pada keputusan itu meskipun berdepan serangan politik.
Beliau berkata pembangkang yang kini mempersoalkan isu tersebut adalah pihak yang pernah berkuasa mentadbir Sabah dan pernah menjadi Menteri di peringkat Persekutuan tetapi gagal memberikan komitmen sama.
"Saya hairan, dulu mereka jadi Perdana Menteri, jadi menteri, apa mereka buat? Sekarang kita yang buat, kita beri komitmen, mereka serang. Orang yang tidak menolong, anda maafkan tetapi orang yang cuba tolong anda serang, politik apakah ini?" soal Anwar ketika berucap di Karamunting, Sandakan semalam.
Anwar turut mengingatkan rakyat Sabah bahawa keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan harga diesel di negeri itu serta Sarawak ketika harga dinaikkan di Semenanjung membuktikan komitmen bersungguh-sungguh kerajaan terhadap keperluan setempat.
Menurut beliau, langkah itu menyebabkan beliau diserang Ahli Parlimen tertentu di Semenanjung yang mendakwa Sabah dan Sarawak diberi layanan istimewa.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan telah menyalurkan peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah Sabah, termasuk RM1.2 bilion bagi menyelesaikan masalah bekalan elektrik sebelum penyerahan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada Kerajaan Negeri.
"Siapa luluskan? Ini kerajaan Pakatan Harapan, bukan pembangkang yang approve, bukan parti-parti negeri yang main sentimen negeri.
"Kita luluskan kerana ada kerjasama antara negeri dan Persekutuan, mesti baik dan tolong rakyat itu yang penting," ujarnya.
Justeru itu, Anwar mempersoalkan sekiranya ada pihak meletakkan kesalahan terhadap Kerajaan Persekutuan yang telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk lebuh raya Pan Borneo.
"Sarawak sudah siap, Sabah belum siap, kenapa salahkan kita, [sedangkan] kami di sini nak pastikan semua siap sedia. Beri subkontraktor kepada orang Sabah tetapi tanpa kompromi, projek ini mesti siap cepat, duit sudah beri," tegas Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Anwar turut menekankan tentang kepentingan mewujudkan keamanan, keharmonian kaum dan hubungan baik antara kerajaan negeri serta Persekutuan yang menjadi asas kepada kemajuan Sabah.
"Saya faham ini waktu kempen pilihanraya tetapi perkara ini melangkaui soal ini [sentimen negeri, kaum], tentang masa depan.
"Ini penting bagi saya, mesti kalau tubuh kerajaan, ia mewakili semua sentimen dan kaum
"Kalau main kaum, main sentimen daerah, negara tak akan maju. Kerajaan mesti mewakili semua kaum. Sabah aman dan itu kelebihan kita," katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa pengundi Sandakan memberi kemenangan kepada tiga calon Pakatan Harapan yang boleh menyampaikan suara pengundi ke Putrajaya iaitu George Hiew (Karamunting), Vivian Wong (Elopura), dan Tang Szu Ching (Tanjong Papat) bagi memastikan Sabah mempunyai wakil yang 'mampu bekerjasama rapat dengan Persekutuan'.
"Jadi saya harap bagilah sokongan kepada calon-calon kita PH, saya minta kawan-kawan tolong... Kita mahu suara..biarpun ada orang kata (ini calon) tak mahu Semenanjung (sebaliknya) ini orang Sabah, dia cakap soal Sabah, dia pertahan Sabah tetapi peranan wakil PH supaya ada hubungan lebih baik dengan Persekutuan," katanya.









Comments