top of page

PM ucap takziah pemergian Yang Dipertua Dewan Negara Mutang Tagal

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • May 10, 2024
  • 2 min read


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Yang Di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal, yang telah menghembuskan nafas terakhir pagi tadi.


Beliau berkata mendiang adalah orang Dayak pertama dilantik sebagai Yang Di-Pertua Dewan Negara dah ia pastinya satu kehilangan besar buat rakyat Sarawak dan negara.

"Segala jasa dan pengorbanannya pasti dikenang rakyat selama-selamanya. Semoga keluarga mendiang tabah berdepan dugaan ini," kata Anwar dalam hantaran di Facebook.

Mutang meninggal dunia pada 11.46 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak 6 Mei lalu.


Pemergian Mutang pada usia 69 tahun itu disahkan Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara hari ini.


Menurut kenyataan itu, maklumat lanjut berkenaan pengebumian dan majlis penghormatan mendiang akan dimaklumkan kemudian.


"Keluarga mendiang Mutang mengucapkan ribuan terima kasih atas kiriman takziah serta doa yang diberikan dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada mereka dalam menghadapi masa yang sukar ini," menurut kenyataan itu.


Mutang meninggalkan isteri Datin Ho May Leng dan tiga anak.


Sebelum ini, Mutang menerima rawatan di IJN setibanya dari Azerbaijan pada 6 Mei lepas.


Beliau yang melakukan lawatan kerja di negara itu bermula 29 April lepas, pulang lebih awal daripada yang dijadualkan.


Mendiang mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mei di Baku, Azerbaijan.


Pada 19 Februari lepas, bekas Ahli Parlimen Bukit Mas itu dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan, susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.


Pelantikan Mutang mencipta sejarah apabila mendiang yang berasal dari Lawas, Sarawak menjadi pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.


Dilahirkan pada 5 Oktober 1954, mendiang yang berasal dari Lawas menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Semadoh dan SK Ba'kelalan sebelum menempuh zaman remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbang dan SMK Lawas.


Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang di Miri dan seterusnya mengikuti pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya.


Khidmat bakti Mutang dalam gelanggang politik bermula apabila beliau menang tanpa bertanding di kerusi Parlimen Bukit Mas pada 1982 dan terus kekal menjadi wakil rakyat kawasan itu sehingga 1990.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page