Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Brunei Darussalam untuk lawatan rasmi selama dua hari.
Anwar dalam catatan di Facebooknya berkata, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah menyambut rombongan Malaysia di lapangan terbang bersama delegasi Brunei.
"Esok saya dijadual untuk mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien di Istana Nurul Iman.
"Saya mengharapkan lawatan ini akan dapat memperkukuh lagi hubungan kedua-dua negara di samping meneroka peluang kerjasama baharu, InshaAllah," katanya.
Turut bersama dalam lawatan ini adalah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor.
Lawatan rasmi ke Brunei juga sebagai membalas lawatan khas Sultan Brunei ke Malaysia pada 28 November lalu, dalam minggu pertama Anwar dilantik sebagai PM.
Dalam lawatan singkat itu Sultan Brunei membawa bersama mufti negara itu untuk membacakan doa khusus bagi kesejahteraan kerajaan yang diterajui Anwar sebagai PM.
Comments