top of page

PM tegas isu pampasan tanah, terbuka cadangan pemaju baharu



Isu pampasan tanah kepada penduduk di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur yang mendakwa tanah mereka diambil secara paksa tanpa pampasan memuaskan dijangka menemui jalan penyelesaiannya selepas bertemu Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur, Lele Suzana Kudari, pertemuan bersama PM yang dikoordinasikan oleh mantan Menteri Wilayah Persekutuan Ir Khalid Samad di bangunan Parlimen itu telah membuka lembaran baharu kepada nasib 37 pemilik teres dan 72 pemilik flat yang mendakwa telah teraniaya.


Beliau berharap penganiyaan dikenakan melalui Akta Pengambilan Tanah ketika tempoh darurat wabak Covid-19 oleh kerajaan terdahulu boleh diselesaikan pada era Kerajaan Perpaduan.

Lele Suzana Kudari

"Perkara utama yang diperjuangkan pemilik adalah berkaitan nilai pampasan hartanah dalam menuntut nilai “pampasan yang mencukupi” atau “adequate compensation”, sesuai dengan peruntukan Perkara 13 (2) Perlembagaan Persekutuan.


"Berdasarkan penilaian Jabatan Pengurusan dan Penilaian Harta atau JPPH, nilai ‘Malay Agricultural Settlement’ yang berstatus rizab Melayu pada tahun 2018 dan 2019 adalah pada kadar RM850 sekaki persegi.


"Namun, pada tahun 2021, JPPH telah menilai tanah yang berstatus ‘international commercial’ turun kepada kadar RM450 sekaki persegi.


"Persoalannya, adakah nilai harga tanah yang berstatus ‘international commercial’ ini lebih rendah daripada ‘Tanah Rizab Melayu’ ?" tanyanya dalam sidang media pagi tadi di Kg Sungai Baru.


Tegas Lele Suzana, sangat jelas nilai tersebut tidak bersesuaian dengan lokasi tanah di tengah ibukota Kuala Lumpur.


Katanya, pemaju mengambil tanah pemilik untuk dibangunkan menjadi pusat komersial dan membina kondominium mewah selari dengan status dan lokasi tanah berhadapan dengan KLCC dan Menara KL.

Penduduk puas hati janji nilai pampasan baharu

Manakala nilai pembangunan kasar atau GDV projek dianggarkan mencecah RM3 ke RM5 bilion dan pemaju akan mengaut keuntungan berpuluh kali ganda.


"Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri telah memberi jaminan dan menegaskan sebagai Ketua Kerajaan sekarang, pihak beliau tidak akan berkompromi dan akan membantu melihat tuntutan kami berhubung nilai pampasan yang dituntut," ujarnya.


Di samping itu, kata Lele Suzana, terdapat beberapa syarikat lain yang menyatakan kesediaan mereka menawarkan nilai RM950 sekaki persegi kepada semua pemilik hartanah, teres dan flat; sama ada mereka yang telah menandatangani perjanjian dengan Ritzy Gloss, mereka yang menerima warta atau mereka yang tidak menerima warta.


Oleh itu, katanya, penduduk yang telah tawar hati dengan pemaju sedia ada tidak menolak memberi laluan kepada pemaju baharu untuk membangunkan tanah mereka.


"Sekiranya syarikat pemaju baru mengambil alih projek ini, maka pemaju baru akan menyediakan pelbagai pilihan pampasan kepada pemilik, sama ada membayar pampasan tunai 100% atau membayar pampasan tunai 50% dan unit rumah 50% atau membayar pampasan melalui unit rumah 100%," katanya.


Justeru itu, beliau mencadangkan pemaju sedia ada segera membuat tawaran secara bersurat kepada semua pemilik hartanah Kampung Sungai Baru untuk menambah kadar atau nilai pampasan kepada RM950 sekaki persegi.


Namun sekiranya gagal, kata beliau, maka kerajaan perlu memberi peluang kepada syarikat-syarikat lain untuk membuat tawaran dengan kadar pampasan tunai yang mencukupi.


"Kami percaya ini adalah mekanisme terbaik dalam penyelesaian kemelut projek pembangunan semula Kg Sungai Baru ini, kerana memenuhi keperluan tatakelola yang ditetapkan oleh kerajaan Madani iaitu setiap penganugerahan projek tidak dilakukan secara ‘direct nego’ atau tertumpu kepada satu syarikat sahaja.


"Juga bersifat ‘menang-menang’ antara pemilik hartanah dan syarikat pemaju," katanya lagi.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page