PM rakam takziah buat keluarga semua mangsa helikopter FDS terhempas


Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Kapten Zainol Afiq yang maut dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Sarawak semalam.
Perdana Menteri berkata beliau baru menghubungi bapa Allahyarham, Bee Sham Ahmad bagi menyampaikan salam takziah daripada beliau, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta seluruh keluarga kepada anggota waris mangsa.
"Saya baru menghubungi saudara Bee Sham Ahmad, ayahanda kepada Allahyarham Kapten Zainol Afiq bagi menyampaikan salam takziah dari pihak saya, Azizah dan keluarga kepada seluruh keluarga besar Allahyarham," katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Menurut Anwar, kenangan ketika Allahyarham Zainol bertanggungjawab menerbangkannya ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu menjadikan pemergian juruterbang itu amat menyentuh perasaannya.
"Tatkala menghimbau kenangan sewaktu Allahyarham bertanggungjawab menerbangkan saya ketika kempen PRU-15 lalu menjadikan saya sangat tersentuh dan mengesankan sanubari yang terdalam," katanya.
Beliau turut menitipkan doa agar keluarga Allahyarham khususnya anak-anak beliau yang masih kecil dan berada jauh dikurniakan kekuatan, ketabahan serta kesabaran untuk menghadapi kehilangan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang semalam, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.
Kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter itu disahkan meninggal dunia.
Selain Kapten Zainol Afiq, mangsa lain ialah Dr Ainul Baraah Kamaruddin, penolong pegawai perubatan Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.
Residen Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang, mengesahkan kematian kelima-lima mangsa berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM).
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut mengesahkan menerima notifikasi mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada pukul 3.58 petang.
Mengulas bantuan kepada keluarga mangsa, Anwar berkata Kerajaan MADANI akan memastikan segala bantuan dan keperluan keluarga Allahyarham serta waris mangsa lain diberikan pembelaan sewajarnya.
"Kerajaan MADANI akan memastikan segala bantuan dan keperluan keluarga Allahyarham serta keluarga mangsa lain didukung dan diberi pembelaaan sewajarnya," katanya.
Beliau turut menzahirkan ingatan dan doa buat seluruh keluarga serta waris mangsa.
"Semoga Allah SWT mengasihani mereka, mengampun segala dosa mereka, melimpahkan rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka di kalangan para syuhada.
"Malaysia meratapi pengorbanan dan limpah bakti mereka kepada negara. Al-Fatihah," katanya.




Comments