PM puji semangat tinggi pasukan keselamatan bantu mangsa banjir
- Suara Keadilan

- Dec 3, 2024
- 1 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji dan menghargai semangat tinggi serta usaha gigih yang ditunjukkan oleh pasukan keselamatan serta petugas kesihatan dalam membantu mangsa banjir, masuk minggu kedua.
Menurutnya, pengorbanan pasukan keselamatan serta pelbagai agensi itu tidak ternilai harganya dalam membantu pemindahan mangsa banjir yang terancam nyawa dan merawat mangsa yang kurang sihat.

"Saya hargai usaha dan semangat tinggi dipamerkan pasukan keselamatan, petugas kesihatan serta seluruh agensi kerajaan persekutuan dan negeri yang bertungkus lumus membantu menguruskan kebajikan dan keperluan mangsa banjir ketika ini.
"Penat lelah sehingga terpaksa berjauhan serta meninggalkan keluarga mereka, akan dikenang sebagai satu pengorbanan besar yang tidak ternilai kepada rakyat dan negara," katanya di Facebook.
Dalam pada itu, PM berharap sektor swasta agar bersama sama menghulurkan bantuan pada waktu negara dan rakyat menghadapi kesulitan besar pada ketika ini.

"Kepada sektor swasta, ayuh kita harungi bersama dan semarakkan semangat kebersamaan untuk terlibat dalam misi bantuan membantu rakyat yang memerlukan serta dilanda kesusahan saat ini.
"Seharusnya semua pihak harus turun padang dan sama-sama membantu meringankan beban ditanggung sehingga mereka yang terkesan ini dapat menjalani kehidupan seperti sediakala," katanya.
Untuk rekod, suasana banjir agak mereda hari ini berbanding kemuncak tiga hari lalu yang mana 150,000 mangsa dipindahkan.
Hari ini jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berjumlah 99,823 orang dan Kelantan masih mencatat jumlah mangsa tertinggi.
Jumlah mangsa banjir di negeri itu mencatat penurunan kepada 62,507 orang, membabitkan 19,482 keluarga yang ditempatkan di 169 PPS berbanding 71,004 orang petang semalam.
Namun, situasi banjir di tiga negeri iaitu Pahang, Perak dan Johor pula menunjukkan peningkatan jumlah mangsa setakat 8 malam tadi manakala di Negeri Sembilan kesemua PPS ditutup sepenuhnya.









Comments