PM perkenal Pasar Tani, permulaan pertanian sebagai perniagaan
- Suara Keadilan

- Sep 26
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini berkongsi pengalaman ketika menerajui Kementerian Pertanian pada tahun 1984 hingga 1986, termasuk inisiatif awal penubuhan pasar tani pertama yang kini menjadi platform penting dalam rantaian bekalan makanan negara.
Beliau berkata, pemasaran merupakan satu elemen penting dalam memperkenalkan produk kepada orang ramai. Dan hari ini cogankata 'pertanian itu perniagaan' telah diterima baik dalam kalangan petani.
"Ketika saya menjadi Menteri Pertanian, saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah Pertanian (KPP), Ketua Setiausaha (KSU) dan rakan-rakan di kementerian.
''Saya nyatakan ketika itu, bagaimana kita hendak mendidik rakyat dan memberikan mereka peluang untuk memasarkan produk.
''Maka saya minta semua lori Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) angkut barang (hasil petani) dari Sabak Bernam, Tanjong Karang dan daerah berdekatan untuk dibawa ke Wisma Tani.
''Jadi pasar tani pertama dalam sejarah kita pada 1984 adalah di Wisma Tani yang ketika itu terletak di Jalan Duta,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani ke-40 Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Pasar Tani Kekal, Presint 4, Putrajaya yang dirasmikan beliau.
Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menurut Anwar lagi, inisiatif pada tahun 1984 itu mendapat sambutan menggalakkan apabila kesemua hasil tani yang dipasarkan di wisma berkenaan habis terjual.
Katanya, jumlah penjawat awam yang berkhidmat di Wisma Tani telah mencecah kira-kira 500 orang pada ketika itu.
''Saya kata siapa nak beli, pergi turun.. gerai buka bermula jam 3 sehingga 6 petang.. beli apa yang ada di situ.
''Alhamdulilah saya ingat hari pertama itu habis dijual. Ketika itu itu kos pengangkutan ditampung FAMA, kemudahan tempat pula ditampung oleh Wisma Tani.
''Para pembeli pula daripada pegawai-pegawai di Kementerian Pertanian. Saya juga sempat bergurau. Saya kata kalau tak habis.. jaga.. KSU dan KPP beli sampai selesai. Jadi itulah permulaannya (pasar tani pertama),'' ujar beliau lagi.
Anwar yang juga Presiden KEADILAN sememangnya dikenali sebagai seorang yang komited dalam memperjuangkan nasib petani dan pesawah.
Komitmen beliau terhadap golongan itu terus diperjuangkan di era Kerajaan MADANI pada waktu ini yang menyaksikan antaranya agenda kesejahteraan pesawah tetap menjadi keutamaan tanpa mengira jalur politik, selaras dengan prinsip MADANI.









Comments