Muhyiddin tidak pernah buktikan dapat sokongan majoriti di Parlimen - Hassan Karim



Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah melepasi ujian Undi Percaya atau Undi Tidak Percaya di Parlimen sebagaimana amalan demokrasi di negara-negara lain dalam melantik ketua kerajaan tanpa melalui Pilihan Raya Umum .


Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, keberadaan Muhyiddin sebagai PM selama 7 bulan ini hanyalah di atas kepercayaan Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau memiliki sokongan majoriti, yang mana Agong berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan wajar melantik seorang PM untuk mempengerusikan Jemaah Menteri bagi mentadbir kerajaan.


"Namun fakta menunjukkan dari 1 Mac 2020 sehingga hari ini, Muhyiddin tidak pernah melepasi ujian kepercayaan di Dewan Rakyat untuk membuktikan secara rasmi beliau mempunyai majoriti ahli dewan yang menyokongnya.


"Fakta juga menunjukkan Usul Undi Tidak Percaya yang dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir, Ahli Parlimen Langkawi dan diterima oleh Speaker Dewan Rakyat sampai ke hari ini tidak dibentang untuk dibahas dan diundi di Parlimen.


"Muhyiddin kelihatan cuba berdalih-dalih dan lari-lari dari menghadapi usul tersebut," kata Hassan dalam satu kenyataan.


Menurut beliau lagi, Muhyiddin kelihatan seperti tidak berani membawa Usul Percaya terhadapnya selaku PM di Dewan Rakyat. Usul seperti itu tidak pernah dibawa atas arahan Muhyiddin.


Oleh kerana ketiadaan keberanian itu, kata Hassan, maka tidak boleh dipersalahkan apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pergi mengadap Agong menunjukkan sokongan yang beliau milikki, sebagaimana yang dilakukan Muhyiddin pada Februari lalu.


"Dalam keadaan ketidakpastian sama ada Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti atau tidak, maka pada 13 Oktober lalu, Datuk Seri Anwar telah mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara dan mempersembahkan dokumen-dokumen yang membuktikan beliau mendapat sokongan melebihi 120 orang ahli dewan yang menyokongnya bagi jawatan PM. Pernyataan atau representasi Anwar kepada Agong itu bermakna beliau mendakwa Muhyiddin telah hilang sokongan.


"Persoalan undang-undang kini, ialah Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong perlu merujuk semula Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Apakah selepas Anwar mengadap, Agong masih berpegang pada hematnya mungkin Muhyiddin masih mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan seperti yang dipercayai Baginda pada 1 Mac 2020 lalu?


"Jika Agong masih percaya, maka selamatlah kedudukan Muhyiddin sebagai PM buat sementara.


"Sebaliknya jika Agong sudah hilang kepercayaan maka Muhyiddin perlulah meletak jawatan sebagai PM untuk mengelakkan rakyat dan negara daripada terheret ke dalam satu krisis Perlembagaan," kata Hassan.


Sebelum ini, Datuk Seri Anwar dalam sidang medianya pada 22 September dan 13 Oktober lalu jelas menekankan kerajaan Muhyiddin telah tumbang.


Bagaimanapun, Muhyiddin kekal mempertahankan beliau masih mempunyai sokongan majoriti tanpa berjanji untuk membentangkan Usul Percaya di Dewan Rakyat pada sesi 2 November nanti atau sebarang cara bagi membuktikan kerajaan beliau masih sah memerintah.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio