top of page

PM mohon syarikat S'pura mudahkan urusan mengundi pekerja Malaysia

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 5 hours ago
  • 1 min read
DS Anwar berucap dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, pagi tadi
DS Anwar berucap dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, pagi tadi

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak berhasrat menghubungi rakan sejawatnya, Lawrence Wong bagi mendapatkan kelonggaran agar rakyat Malaysia dapat pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.


Katanya, pendirian itu mengambil kira prinsip kerajaan yang tidak mahu sebarang campur tangan negara luar dalam urusan pilihanraya di mana-mana negeri di Malaysia.


"Hubungan kita (Malaysia) dengan Singapura sangat baik dan hubungan yang baik ini membantu untuk membangunkan kedua-dua negara.


"Cuma saya juga tahu yang saya mewakili Malaysia. Selalunya kita tidak minta mana-mana negara lain campur dalam urusan, termasuk pengundian di negara kita.


"Cuma kita maklumkan kepada syarikat-syarikat di Singapura untuk memudahkan. Ada pilihanraya apa ertinya kalau dipersulitkan (untuk datang mengundi). Tapi saya tidak bercadang untuk menghubungi Perdana Menteri Singapura dalam urusan pengundian atau pemilihan di Malaysia," katanya.


Kenyataan itu dibuat ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini, sebagai menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) berhubung sama ada beliau bersedia menghubungi Lawrence bagi tujuan itu.


Sebagai rekod, PRN Johor kali ini menyaksikan seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan hari pengundian membabitkan kira-kira 2.7 juta pengundi ditetapkan Sabtu ini.


PRN tersebut diadakan susulan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page