PM minta "bertenang sepenuhnya", elak konflik Thai-Kemboja meningkat
- Suara Keadilan

- 9 minutes ago
- 2 min read

Malaysia menggesa pertempuran bersenjata antara Thailand dan Kemboja di sepanjang sempadan yang dipertikaikan dihentikan segera dengan amaran keganasan yang tercetus semula itu mengancam kestabilan serantau serta boleh menjejaskan kemajuan diplomatik yang dibina dengan sukar selama ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Pengerusi ASEAN menyatakan “kebimbangan mendalam” terhadap laporan pertempuran bersenjata di kawasan sensitif tersebut.
"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban atau cedera. Pertempuran ini boleh menjejaskan usaha penting yang telah dilakukan bagi menstabilkan hubungan kedua-dua jiran," kata Anwar dalam kenyataan pada Ahad.
Pihak berkuasa tempatan di kedua-dua negara dilaporkan telah memindahkan penduduk dari kawasan berisiko tinggi ketika ketegangan meningkat sepanjang hujung minggu.
Anwar menggesa kedua-dua pihak “bertenang sepenuhnya,” mengekalkan saluran komunikasi terbuka dan menggunakan sepenuhnya mekanisme dua hala serta platform ASEAN yang sedia ada untuk menangani pertikaian sempadan.
"Thailand dan Kemboja adalah rakan rapat Malaysia dan anggota utama ASEAN. Malaysia bersedia menyokong langkah yang dapat memulihkan ketenangan dan mengelakkan insiden lanjut," katanya.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia dijangka memainkan peranan dalam menguruskan konflik itu termasuk diplomasi senyap atau rundingan tergempar antara negara anggota.
Anwar menegaskan bahawa Asia Tenggara tidak mampu berdepan pengulangan konflik pertikaian wilayah yang telah berlarutan, sambil menyatakan bahawa keutamaan segera adalah menghentikan pertempuran dan melindungi orang awam.
"Wilayah kita tidak boleh membenarkan pertikaian lama kembali menjadi kitaran konfrontasi. Keutamaan ialah menghentikan pertempuran, memastikan keselamatan orang awam dan kembali ke laluan diplomatik berasaskan undang-undang antarabangsa serta semangat kejiranan ASEAN," katanya.
Sempadan Thailand–Kemboja kekal sebagai salah satu garis retak paling sensitif di tanah besar Asia Tenggara dengan kedua-dua pihak mengekalkan kehadiran pasukan keselamatan walaupun terdapat persetujuan sebelum ini untuk mengelakkan peningkatan konflik.
Laporan media antarabangsa menyebut seorang anggota tentera Thailand terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam pertempuran baharu yang tercetus di sempadan dengan Kemboja.
Kejadian dilaporkan berlaku apabila tentera Kemboja melepaskan tembakan ke arah pasukan Thailand awal pagi tadi di Wilayah Ubon Ratchathani sekali gus meningkatkan semula ketengangan selepas kedua-dua negara saling menyalahkan atas tercetusnya pertempuran terbaharu di sepanjang sempadan mereka.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata pula berkata, pasukan Thailand melancarkan serangan ke atas tentera Kemboja di wilayah sempadan Preah Vihear dan Oddar Meanchey awal pagi terlebih dahulu dengan mendakwa tentera mereka tidak membalas serangan tersebut.









Comments