Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan harapan agar produk kewangan bersifat Islamik terus diperluas penggunaannya.
Hasrat itu disampaikan PM kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet yang diadakan pada Rabu, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.
"Kejayaan dan keupayaan Malaysia untuk membangunkan produk kewangan yang bersifat Islamik ini perlu kita berikan tumpuan pada masa depan.
"Ini kerana kita tahu dan sedar produk kewangan seperti sukuk bukan hanya diminati tetapi sudah pasti pasarannya besar.
"Kita perlu beri fokus kepada aspek ini," katanya dipetik.
Perdana Menteri pada ucapan di Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) di Kuala Lumpur, Selasa lalu berkata Ekosistem kewangan Islam perlu berkembang beransur-ansur dengan memberi penekanan kepada kewangan berasaskan nilai melangkaui motif berasaskan keuntungan.
Anwar pada ucapannya turut menegaskan, prinsip ekonomi dan kewangan Islam semakin relevan untuk menyelesaikan cabaran dihadapi dunia semasa tempoh ketidaktentuan global.
Difahamkan Malaysia ketika ini lebih memberi tumpuan kepada produk dan pensijilan halal berbanding memperluas produk kewangan Islam.
Comments