PM letak jawatan: Tuntutan Zaid Ibrahim pramatang, tiada asas undang-undang
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Tuntutan seorang bekas menteri agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sementara adalah tidak berasaskan peruntukan undang-undang, logik dan keadilan, demikian kata Ahli Parlimen KEADILAN.
Wakil rakyat Sungai Petani, Dr Taufiq Johari berkata, desakan ahli politik veteran itu adalah provokasi politik yang tidak berjejak di bumi nyata.
"Jika kita ingin mempertahankan kedaulatan undang-undang, kita mesti mempertahankan hak setiap warganegara termasuk Perdana Menteri untuk mendapatkan kejelasan undang-undang, keadilan prosedur dan perlindungan perlembagaan.
"Peletakan jawatan bukanlah penyelesaian kepada spekulasi. Biarlah mahkamah menjalankan tugasnya dan ahli politik berhenti menjadi hakim dan juri di mahkamah pendapat awam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, sebuah portal berita tempatan melaporkan Anwar telah mendapatkan pengesahan muktamad Mahkamah Persekutuan sama ada peruntukan Perkara 39, 40, dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberikan dirinya kekebalan bersyarat daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan oleh bekas pembantunya, Yusoff Rawther.
Tuntutan sivil tersebut berkaitan kejadian yang didakwa berlaku sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 24 November 2022.
Anwar memfailkan permohonan agar mahkamah menentukan sama ada perbicaraan kes berkenaan akan menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif dan mencabuli prinsip pengasingan kuasa antara eksekutif dan kehakiman.
Laporan media tempatan menyebut Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 3 Jun ini untuk mendengar permohonan Anwar bagi menangguhkan perbicaraan saman Yusoff Rawther yang mendakwa dirinya diserang secara seksual.
Dr Taufiq berkata, desakan agar perdana menteri meletakkan jawapan sementara Mahkamah Persekutuan meneliti rujukan perlembagaan berkaitan imuniti sivil bukan sahaja pramatang, malah tidak selaras dengan perundangan tertinggi negara selain tidak bertanggungjawab dari sudut politik.
"Cadangan beliau menjejaskan prinsip undang-undang asas dan mencerminkan sikap tidak menghormati prinsip pengasingan kuasa
"Permintaan penjelasan Perlembagaan bukanlah satu pengakuan bersalah. Sebaliknya, ia menunjukkan kematangan institusi — kesediaan untuk menyerahkan isu itu kepada mahkamah tertinggi bagi mengelakkan persepsi campur tangan politik atau penghakiman melampaui bidang kuasa," ujarnya.
Sementara itu kata beliau, tindakan Zaid menyamakan kes imuniti Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) melibatkan Presiden Donald Trump adalah mengelirukan.
"Kes Trump membabitkan prosiding jenayah aktif. Kes Anwar pula melibatkan dakwaan lama yang telah ditolak, kini dihidupkan semula melalui tindakan sivil bertahun selepas kejadian didakwa berlaku," katanya.
Zaid, kata belau, turut gagal memahami permohonan Anwar bukan untuk menghalang saman tersebut secara kekal, sebaliknya bagi menentukan Mahkamah Tinggi terlebih dahulu menyaring sama ada tindakan itu bersifat penyalahgunaan, bermotif politik atau tidak serasi dengan prinsip pemerintahan berperlembagaan.
"Pemegang jawatan perlembagaan perlu dilindungi— bukan dari pertanggungjawaban—tetapi daripada litigasi remeh yang dirancang untuk mengganggu tugas awam. Perkara 8(1), doktrin pengasingan kuasa dan prinsip kesepadanan institusi menuntut perlindungan sedemikian," kata beliau.
Untuk rekod, tuntutan meletak jawatan PM tidak wajar dibuat dalam sistem pemerintahan Malaysia kerana akan mengakibatkan seluruh Jemaah Menteri terbubar dan mungkin akan berlaku kekacauan politik dalam kerajaan campuran seperti mana peristiwa Langkah Sheraton pada 2020 lalu yang menyaksikan kerajaan bertukar tangan.